Kerja 4 hari seminggu lebih produktif, menurut kajian UK


Kajian di UK mendapati kadar tekanan, keletihan, lesu upaya dan masalah tidur pekerja berkurangan apabila waktu bekerja dikurangkan kepada empat hari seminggu. – Gambar AFP, 22 Februari 2023.

KEBANYAKAN pekerja dan syarikat mendapati waktu bekerja empat hari seminggu meningkatkan produktiviti berbanding lima hari, menurut kajian yang dijalankan di United Kingdom.

Dapatan itu diperolehi berdasarkan maklum balas lebih 60 syarikat membabitkan hampir 3,000 pekerja di Britain mengambil bahagian dalam kempen percubaan bekerja empat hari seminggu dengan mengekalkan gaji sama bermula Jun dan Disember 2022.

Kempen itu dianjurkan kumpulan 4 Day Week Global bersama badan pemikir Autonomy, University of Cambridge dan Boston College di Amerika Syarikat (AS). 

Laporan yang diterbitkan semalam menyebut, kajian mendapati sembilan daripada sepuluh syarikat bercadang untuk meneruskan waktu bekerja empat hari seminggu. Hanya empat peratus syarikat memilih untuk mengekalkan waktu bekerja sedia ada iaitu lima hari seminggu.

Kajian dapati waktu bekerja empat hari tidak menjejaskan produktiviti, dan pendapatan syarikat secara purata meningkat 35% sepanjang tempoh percubaan dari Jun hingga Disember 2022, berbanding tempoh yang sama tahun-tahun sebelumnya.

Pengambilan pekerja juga meningkat dan ketakhadiran berkurang, manakala bilangan pekerja yang berhenti turun mendadak sepanjang tempoh percubaan kempen tersebut, menurut kajian itu.

Penyelidik selain itu merumuskan tahap kesihatan mental dan fizikal serta kesejahteraan pekerja bertambah baik.

Laporan turut menyebut kajian mendapati kadar tekanan, keletihan, lesu upaya dan masalah tidur pekerja berkurangan apabila waktu bekerja dikurangkan kepada empat hari seminggu.

“Kesihatan mental pekerja bertambah baik, mereka tidur lebih lena dan kurang letih.

“Kami dapati ramai yang sangat gembira dengan percubaan ini kerana mereka mempunyai tiga hari rehat berbanding dua hari pada hujung minggu,” kata Profesor Brendan Burchell dari Universiti Cambridge. – AFP, 22 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen