Polis Johor kesan individu menyamar TMJ, minta duit


Pelaku menggunakan gambar profil TMJ agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan TMJ.– Gambar AFP, 21 Februari, 2023.

POLIS Johor kini sedang mengenal pasti serta mengesan individu yang menyamar sebagai Tunku Makhota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui Instagram dengan menggunakan akaun ‘HRHCROWNPRINCEOFJOHOR’, dipercayai untuk memperdaya mangsa.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata pihaknya menerima laporan daripada media Istana Johor mengenai penyamaran itu pada pukul 2.35 petang hari ini.

Beliau berkata menerusi satu tangkap layar akaun Instagram terbabit memaparkan mesej yang menunjukkan seorang individu mengaku sebagai TMJ kepada beberapa pihak dan meminta sejumlah bayaran untuk urusan perniagaan.

Kumar berkata melalui siasatan awal pihaknya mendapati individu berkenaan menyamar sebagai TMJ dengan melakukan pengubahsuaian pada tangkap layar yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram TMJ agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan TMJ.

“Setakat ini dipercayai mesej berkenaan diedarkan kepada lapan syarikat dan ada di antara syarikat berkenaan sudah terpedaya dan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan individu untuk mendapatkan projek yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kumar kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Penyamaran) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan didenda jika sabit kesalahan.

“Polis Johor menyeru mana-mana pihak yang menjadi mangsa untuk melaporkannya kepada pihak polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan,” katanya.– Bernama, 21 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen