KETUA Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan percaya beliau dapat membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah atas tuduhan rasuah berkaitan program bantuan Jana Wibawa.
Beliau berkata pertuduhan itu adalah bermotifkan politik untuk menutup kegagalan pentadbiran semasa.
“Kami akan buktikan (saya tidak bersalah) di mahkamah.
“Kita kena pastikan ada kebebasan institusi mahkamah kerana ini akan membuktikan kita tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu hari ini, Wan Saiful minta dibicarakan atas pertuduhan menerima hampir RM7 juta sogokan berhubung program bantuan Jana Wibawa.
Beliau juga didakwa meminta rasuah RM232 juta berhubung program sama untuk membantu kontraktor Bumiputera berkedudukan tinggi yang terjejas akibat pandemik.
Wan Saiful, 48 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Azura Alwi.
Beliau berkata pendakwaan sedemikian terhadapnya adalah tidak wajar.
“Tuduhan terhadap saya ini adalah tuduhan yang tidak sepatutnya berlaku.”
Wan Saiful berkata kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekarang tidak seharusnya membuang masa cuba menuduh orang ramai sebagai cara untuk menutup kegagalan mereka.
“Kita perlu fokus kepada kebajikan rakyat, situasi yang menjejaskan rakyat, hingga kos sara hidup.
“Harga banyak barangan semakin naik, malah melambung tinggi.
“Malah permintaan untuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) bersasar tidak dibenarkan walaupun mendapat gesaan orang ramai di pelbagai peringkat.
“Jadi, apa yang berlaku di sini, mereka mencipta tuduhan sedemikian untuk mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan ini, kegagalan mengeluarkan idea baharu, idea penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Apabila mereka gagal, mereka cuba menutupnya dengan mencipta kes yang tidak sepatutnya wujud,” kata Wan Saiful.
Wan Saiful didakwa meminta RM232 juta daripada seorang individu, Lian Tan Chuan pada April tahun lalu sebagai insentif untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan kontrak untuk projek Central Spine Road.
Dia juga dituduh menerima rasuah RM6.96 juta, yang dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB WSA Advisory Group Sdn Bhd, pada 2022.
Wan Saiful ialah pemilik WSA Advisory Group Sdn Bhd.
Kedua-dua pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Wan Saiful diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM400,000 dan menetapkan 22 Mac untuk sebutan semula.
Tertuduh juga diarah menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali. – 21 Februari, 2023.
Komen