Pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan meningkat minggu lepas, kata KP kesihatan 


Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 3.4% pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2023.

JUMLAH kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 3.4% pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023 (ME 7/2023) dari 12 hingga 18 Februari berbanding ME 6/2023, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi berdasarkan kategori pada ME 7/2023 berbanding ME 6/2023 pula tiada perubahan iaitu kekal 0.4% bagi kategori satu dan dua sementara pesakit kategori tiga, empat dan lima menurun 20%.

“Peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 7/2023 berbanding ME 6/2023 adalah katil bukan kritikal menurun 1%, katil Unit Rawatan Rapi (ICU) tiada perubahan iaitu kekal pada 2% dan peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) tiada perubahan, kekal pada 0.2%,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata kes positif Covid-19 yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan penurunan dan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 7/2023 berbanding ME 6/2023 menunjukkan bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat 9.6%. 

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun 13.2% dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun 39.1%,” katanya.

Beliau berkata perbandingan kes baharu, kes sembuh dan kes kematian Covid-19 antara ME 6/2023 dan ME 7/2023 menunjukkan bilangan kes baharu menurun 3% (1,542 kepada 1,495 kes), bilangan kes sembuh menurun 13.9% (2,071 kepada 1,784 kes) dan bilangan kes kematian menurun 50% (lapan kepada empat kes).

Menurut Dr Noor Hisham, dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 18 Februari 2023 (ME 7/2023), kumulatif kes baharu ialah 5,040,821 kes sementara kumulatif kes sembuh 4,994,944 kes.

“Purata kes aktif ialah 8,980, kumulatif kes kematian 36,955 dan kumulatif kluster 7,171. Kluster aktif ialah empat kluster,” katanya. 

Beliau berkata survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 25 sampel ILI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 3.0% pada ME 7/2023 dan tiada sampel SARI dikesan positif Covid-19 pada ME 7/2023. – Bernama, 21 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen