Pencalonan Hadiah Asean 2023 dibuka


Sekretaria Asean melancarkan Hadiah Asean 2023 pada 20 Februari untuk individu dan organisasi cemerlang di rantau ini. – Gambar EPA, 21 Februari, 2023.

SEKRETARIAT Asean secara rasmi melancarkan Hadiah Asean 2023 pada 20 Februari untuk individu dan organisasi cemerlang di rantau ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Hadiah Asean yang sudah memasuki edisi keenam merupakan anugerah utama rantau Asia Tenggara, memberi pengiktirafan kepada individu dan organisasi yang berpangkalan di Asean atas sumbangan membantu pembinaan Komuniti Asean.

Calon yang memenuhi sekurang-kurangnya satu daripada kriteria berikut digalakkan untuk mengemukakan permohonan: kerjasama cemerlang antara negara anggota Asean (AMS) dan antara Asean dan dunia, penglibatan rakyat dengan rakyat yang cemerlang dalam kalangan AMS, integrasi ekonomi yang cemerlang, dan promosi piawaian antara AMS atau sumbangan cemerlang lain kepada Pembinaan Komuniti Asean.

Pencalonan sendiri tidak akan dipertimbang. Pencalonan dibuka dari 20 Februari hingga 28 April 2023.

Juri yang terdiri daripada bekas setiausaha agung Asean akan bersidang untuk memilih seorang calon yang layak.

Penerima Anugerah Asean 2023 akan menerima trofi dan hadiah wang berjumlah AS$20,000 yang ditaja oleh Yayasan Temasek Singapura dan Yayasan Hasanah Malaysia.

Setakat ini, tiga individu dan dua organisasi menerima anugerah itu sejak ia diperkenalkan pada 2018. – Bernama, 21 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen