PRESIDEN Brazil Luiz Inacio Lula da Silva melawat ke zon bencana di mana hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 40 terbunuh ketika sambutan karnival popular negara itu sedang diadakan, dengan berpuluh-puluh yang lain masih hilang.
Pekerja penyelamat berusaha mencari mangsa terselamat di bawah lumpur dan sisa runtuhan selepas 24 jam hujan lebat tidak berhenti pada hujung minggu lalu hingga menyebabkan bah besar dan tanah runtuh di kawasan pantai popular Sao Sebastiao, kira-kira 200km di tenggara Sao Paulo.
Dengan pasukan keselamatan mula membersihkan jalan raya daripada lumpur dan menyebabkan akses ke wilayah itu terputus, penduduk berkata mereka hampir kehilangan segalanya selepas rumah dilanda banjir dan tanah runtuh.
“Kami dengar bunyi yang menakutkan, pokok jatuh dan kaca pecah. Air masuk laju dari tingkap bilik air, ia meletup,” kata Vanesa Cristina Caetano kepada media di rumahnya di tepi pantai Juquehy, di Sao Sebastiao.
Ada yang bercerita tentang ahli keluarga mengorek di bawah runtuhan untuk menyelamatkan saudara mereka yang terperangkap, dengan ramai yang lain hilang rumah dan segala harta benda.
Lula berjanji kerajaan persekutuan akan membantu dalam usaha pembangunan semula, dan mengeluarkan rayuan untuk menghentikan pembinaan bangunan di kawasan rendah dan lereng bukit yang terdedah kepada bencana.
“Rakyat tolong jangan bina rumah di tempat yang boleh menyebabkan anda menjadi mangsa kepada hujan dan tanah runtuh yang meragut nyawa,” kata Lula yang mengangkat sumpah jawatan untuk penggal ketiga bulan lalu.
Dianggarkan 9.5 juta daripada 215 populasi Brazil tinggal di kawasan berisiko tinggi berdepan banjir atau tanah runtuh – lazimnya adalah golongan miskin. – AFP, 21 Februari, 2023.
Komen