PRESIDEN Recep Tayyip Erdogan berkata sebanyak 200,000 rumah baharu akan dibina di wilayah tenggara Turkiye, yang musnah akibat gempa bumi dua minggu lalu.
Gegaran berukuran 7.8-magnitud pada 6 Februari lalu dan gegaran berikutnya menyebabkan lebih 41,000 terbunuh di Turkiye dan jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal.
Erdogan berusaha untuk menunjukkan kerajaannya akan melakukan apa saja untuk mangsa gempa, menjelang pilihan raya pada Mei.
Beliau berkata 118,000 bangunan runtuh, perlu diruntuhkan atau mengalami kerosakan sangat teruk akibat gempa.
Erdogan berjanji kerja pembangunan semula akan bermula pada Mac untuk membina 199,739 rumah termasuk lebih 130,000 di wilayah paling teruk terjejas iaitu Hatay, Kahramanmaras dan Malatya.
“Semua bangunan ini akan setinggi tiga atau empat tingkat,” katanya.
Pakar berkata walaupun Turkiye mengenakan peraturan, syarikat pembinaan sering membina rumah yang tidak berkualiti dan tidak mampu menahan gegaran.
“Bangunan akan dibangunan di kawasan kukuh dan menggunakan kaedah tepat,” katanya.
“Rakyat yang tinggal di khemah dan kontena akan dipindahkan ke rumah lebih kukuh, selamat dan selesa dalam tempoh setahun.”
Kerajaan memberikan tempat perlindungan kepada kira-kira 1.6 juta rakyat, kata Erdogan selepas melawat wilayah Hatay.
Erdogan berkata pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 114,834 mangsa daripada runtuhan.
Operasi mencari dan menyelamat dihentikan di sembilan wilayah, tetapi setakat Ahad, operasi masih diteruskan di Hatay dan Kahramanmaras. – AFP, 21 Februari, 2023.
Komen