Mitos perpecahan parti Melayu


Mohd Azizi Jaeh

PERGOLAKAN yang membahang dalam politik Malaysia sepanjang beberapa tahun ini sering dighairahkan dengan polemik perpecahan Melayu.

Maka wujudlah saranan dan seruan tegas ke arah mencari kesepakatan dan perpaduan antara parti Melayu.

“Kepercayaan yang dipaksakan” ke atas orang Melayu dengan mengandaikan semua tenaga dan parti Melayu harus dihimpun dan dikelompokkan dalam sebuah khemah besar. Bahkan, terdapat cadangan untuk menubuhkan pakatan atau gabungan “Melayu Raya” – Umno, PAS dan Bersatu.

Namun, cadangan pembentukan gagasan Melayu tersebut tidak kesampaian sebelum dan selepas PRU15. Umno mengambil haluan dan pendekatan berseberangan dengan Perikatan Nasional (PAS dan Bersatu).

Menariknya, perpaduan dan perpecahan merupakan dua ungkapan kata yang berlawanan yang dijadikan faktor utama percaturan, perhitungan dan pertarungan antara parti politik.

Keadaan menjadi lebih gawat apabila terdapat parti Melayu merasakan kedudukan mereka sedang terancam – khususnya dengan cabaran dan kemaraan signifikan parti yang didominasi keanggotaannya oleh kaum Cina – DAP.

Neraca dan pertimbangan yang digunakan adalah penghakisan kuasa politik Melayu Islam. Dengan menimbulkan reaksi sedemikian, kebimbangan dan ketakutan akan tersebar di kalangan Melayu dan akhirnya mereka (parti Melayu) akan bertindak sebagai pelindung dan penyelamat kepentingan Melayu.

Ungkapan yang seringkali ditekankan orang Melayu harus bersatu, mengundi dan menyokong parti Melayu demi menjayakan agenda perpaduan ummah serta mengukuhkan perpaduan Melayu.

Umpamanya, bila mana majoriti Melayu menyokong PN membentuk kerajaan, maka perpaduan Melayu dikatakan akan membawa kestabilan negara.  

Penumpuan berlebihan kepada perpaduan Melayu secara simplistik kadangkala membuatkan pengikut fanatik parti bertindak secara tidak rasional, sehingga ada yang sanggup mencemuh dan mengkafirkan parti lawan yang menolak seruan mereka.  

Bukan setakat itu, world view atau pandang dunia orang Melayu selama ini banyak dibentuk dan ditakrif oleh persekitaran parti politik –misalnya ketuanan Melayu.

Sebenarnya, pangkal kepada perbalahan parti Melayu berpunca daripada kemerosotan dan kekalahan Umno sebagai parti induk.

Kehadiran dan percambahan banyak parti Melayu yang baru membuka pilihan dan alternatif kepada masyarakat Melayu untuk mengalihkan sokongan.

Tidak cukup dengan itu, kemunculan NGO seperti Muafakat Nasional (MN) yang berorientasikan identiti Melayu Islam akan mengimpakkan tekanan kepada parti dalam kerajaan Perpaduan.

Kumpulan yang dipecat dari parti asal, individu yang kalah dalam PRU serta keahlian yang terdiri daripada PAS dan Bersatu antara mereka yang menyertai MN yang disifatkan pemerhati selari dengan perjuangan PN.  

Penulis berpendirian pergolakan yang berlaku sekarang bukan didasari faktor perpecahan orang Melayu, tetapi ibu segala konflik lebih berasaskan kepada perpecahan dan krisis antara elit dan pimpinan Melayu – pertelingkahan yang terlalu tajam dan pergeseran kepentingan untuk berpaut pada kekuasaan.

Mitos: kepercayaan yang disimpangkan

Kebangkitan politik kanan melahirkan khayalan dan imaginasi yang kuat dalam psikologi orang Melayu – sebarang elemen yang bertentangan dengan orde dan  tradisi politik Melayu dianggap sebagai ancaman yang datang dari luar.

Misalnya, parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang beroperasi dalam kerangka berbilang budaya (multiculturalism) akan dipandang membawa pengaruh asing.  

Ketika perlumbaan merebut pengaruh Melayu, orang bukan Melayu turut dijadikan sasaran. Tradisi semacam pantang diusik dan pantang dicabar, apatah lagi datangnya daripada bukan Melayu dilihat sebagai suatu yang sakral kepada kesinambungan bangsa.

Mereka seakan-akan menggariskan ketetapan yang kaum-kaum lain (khususnya kaum Cina) hampir 100% adalah penyokong PH.

Orang Melayu yang mengundi PH pada PRU lalu disifatkan seolah-olah menyerahkan negara ini kepada bangsa asing.

Kaedah menakut-nakutkan ini bagi melemahkan pihak lawan sekali gus meraih penerimaan Melayu.

Ketakutan merupakan satu mekanisme bagi menyatupadukan dan menarik pengikut dengan menanamkan perasaan rasa tidak selamat dan tidak tenteram yang dirasai bersama.

Bahkan, terdapat semacam kumpulan pelampau yang cuba mengalihkan perhatian awam dan ‘mencari kesempatan menangguk di air yang keruh’ ketika situasi ekonomi dilanda krisis dan suasana politik negara yang semakin mencabar.

Kadangkala kita terlupa terdapat masalah yang lebih besar daripada penyatuan semua parti-parti Melayu yang masih belum dibereskan, seperti masalah putaran ganas kemiskinan dan keciciran pendidikan anak bangsa.

Mengapa kemiskinan sukar diatasi selama lebih berdekad lamanya meskipun parti orang Melayu mendominasi pemerintahan?

Atau mungkinkah dengan wujudnya gabungan “Melayu Raya” akan menyelesaikan masalah ekonomi ketika ini dan politik negara akan lebih stabil?

PN yang menjaja dan menggambarkan kedudukan mereka sebagai pelopor baru kepada perpaduan Melayu selepas Umno turut boleh dipertikaikan.

Sedangkan semasa 33 bulan mereka berkolaborasi dan membentuk kerajaan bersama Umno sebenarnya mendedahkan kelemahan dan perpecahan elit lebih ketara dalam kalangan mereka.

Perpaduan tidak hanya terbatas dengan menghimpunkan semua parti Melayu dalam sebuah payung besar seterusnya menjadikan keadaan bertambah lebih baik.

Sedangkan campuran pelbagai parti berbilang kaum dan parti Melayu dalam satu gabungan seperti kerajaan perpaduan sekarang tidak semestinya memburukkan suasana dan akan menandakan kegagalan.

Apatah lagi, sekiranya semua parti Melayu utama berada dalam satu pakatan kerajaan, parti Melayu manakah pula akan duduk di luar kerajaan?

Bukankah sebaiknya ada fungsi semak dan imbang; ada parti Melayu dalam kerajaan dan ada parti Melayu sebagai pembangkang. Malahan lebih ideal untuk Malaysia yang berteraskan Melayu yang memimpin masyarakat majmuk.

Pasti pandangan ini ada kesahihan dan ketidaksahihannya.

Dalam banyak situasi perpecahan tidak dapat dielakkan. Sikap dan ragam manusia untuk mengambil pendirian dan garis pandangan parti yang berbeza merupakan tabiat semulajadi.

Demokrasi begitu menggalakkan perbezaan pandangan. Sekiranya hanya sebuah parti dan gabungan ingin terus berkuasa dan dominan selamanya, maka pembangunan demokrasi akan menjadi cacat.

Namun, diakui perubahan sesuatu yang ditentang  dalam masyarakat yang terlalu berpegang kepada politik identiti.  

Seseorang yang mengkaji perubahan politik di Malaysia tentu menyedari sekiranya tidak ada perpecahan dan konflik dalaman Umno mungkinkah parti itu masih berkuasa sehingga ke hari ini. Mungkinkah penggiliran rejim akan berlaku?

Dengan perpecahan yang tercetus, pemimpin ternama meninggalkan Umno serta kemunculan parti-parti baru dari serpihan Umno, akhirnya Malaysia mencipta sejarah menamatkan hegemoni Umno pada 2018 dan diulang lagi pada 2022.

Orang Melayu sudah menyuarakan pilihan mereka menerusi PRU lepas.

Mereka tidak sesekali boleh dianggap jelek, ekstrem, pelampau kerana memilih parti pilihan baik PH, PN dan BN. Malah orang Melayu sekarang ada pilihan, dapat menerokai segala ideologi dan menguji parti bukan Melayu untuk mentadbir. 

Apa yang menghambat kita sebenarnya bukan perpecahan Melayu, cuma masalah ketegangan politik yang dihadapi kita kini ialah kita masih tidak pandai menerima dan meraikan perbezaan.

Orang Melayu terlalu menganggap pembawaan PH itu terlalu asing. – 21 Februari, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen