Permohonan subsidi ayam, telur belum dibuka, kata JPV


JPV berkata permohonan subsidi bagi penternak ayam dan pengeluar telur ayam bagi tahun 2022 sudah ditutup 15 Januari lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2023.

PERMOHONAN subsidi penternak ayam dan pengeluar telur ayam bagi tahun 2023 masih belum dibuka setakat ini, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini.

Dalam maklum balas terhadap laporan akhbar tempatan berkait isu subsidi penternak ayam dan telur, JPV memaklumkan perkara mengenai subsidi berkenaan baru dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

“Permohonan kepada Kabinet bagi subsidi ini adalah bagi tempoh Januari-Jun 2023,” menurut kenyataan JPV hari ini.

JPV berkata sehingga kini JPV serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan masih menunggu minit kelulusan daripada Kabinet bagi pelaksanaannya.

JPV juga memaklumkan permohonan subsidi bagi penternak ayam dan pengeluar telur ayam bagi tahun 2022 sudah ditutup 15 Januari lepas.

Dalam laporan yang disiarkan akhbar berkenaan, penternak ayam penelur percaya kerajaan tidak akan meneruskan pemberian subsidi dalam usaha menstabilkan pengeluaran bekalan tersebut.

Memetik sumber yang mewakili sebuah ladang pengeluar telur di Lembah Klang, perkara itu dikatakan semakin jelas apabila borang permohonan tuntutan subsidi dalam bentuk Google Form dalam laman web JPV sudah tiada.

Dalam laporan tersebut, Sabtu lalu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan akan mengkaji semula keperluan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur pada Jun ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak RM1.8 bilion subsidi diperuntukkan kepada penternak ayam serta pengeluar telur terlibat dan ia dijangka meningkat melebihi RM2 bilion sehingga Jun ini.

Katanya, jika kerajaan berjaya menstabilkan harga ayam dan telur maka tiada keperluan untuk memberi subsidi kepada penternak tersebut. – Bernama, 20 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen