Kemboja akan pastikan penganjuran Sukan Sea ke-32 berjalan lancar, kata Hun Sen 


Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen turut meminta orang ramai meningkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing bagi menyambut kedatangan atlet, perwakilan dan pengunjung semasa temasya itu.– Gambar EPA, 20 Februari, 2023.

PERDANA Menteri Samdech Techo Hun Sen pada Isnin berkata Kemboja akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan kejayaan penganjuran Sukan Asia Tenggara (Sea) ke-32 Mei ini.

“Kami akan memastikan temasya itu berjalan lancar termasuk keselamatan atlet dari negara lain dan peminat mereka,” Kata Hunsen lapor Xinhua.

Beliau berkata beberapa atlet Kemboja sedang berlatih di China untuk persediaan temasya itu.

Menurut Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja, sejumlah 160 atlet menjalani latihan intensif di China sejak September lepas.

Sementara itu, Hun Sen menggesa pihak berkuasa tempatan supaya mengindahkan bandar dan wilayah mereka manakala orang ramai diminta meningkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing bagi menyambut kedatangan atlet, perwakilan dan pengunjung semasa temasya itu.

Kemboja menjadi tuan rumah Sukan Sea ke-32 dari 5 hingga 17 Mei buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun. Selain menjadi gelanggang utama untuk acara yang dipertandingkan Stadium Nasional Morodok Techo juga akan menjadi lokasi bagi upacara pembukaan dan penutupan.

Menurut jawatankuasa penganjur sukan Sea kali ini akan mempertandingkan 37 acara yang melibatkan lebih 600 disiplin. – Bernama, 20 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen