ANGGOTA Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Wang Yi menyifatkan semua pihak tidak mengingini krisis Ukraine-Rusia berlaku dan China sama seperti pihak lain turut berasa bimbang dengan konflik yang semakin serius dan berlarutan itu.
“Segala usaha yang dilakukan China adalah untuk menggalakkan pihak terbabit mengadakan rundingan demi kedamaian,” kata beliau yang juga Ketua Pejabat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar PKC.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu Ukraine-Rusia selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Keselamatan Munich pada Sabtu.
Wang berkata pada hari kedua konflik itu tercetus, Presiden China Xi Jinping pun mencadangkan agar menyelesaikan persengketaan politik iaitu melalui rundingan.
“Umum mengetahui Rusia dan Ukraine pernah mengadakan rundingan untuk beberapa pusingan dan mencapai kemajuan penting dengan rangka perjanjian damai sudah terbentuk.
“Namun agak kesal rundingan damai itu terhenti dan semua usaha menjadi sia-sia.
“Kami (China) tidak mengetahui sebabnya (dan) ia nampak seperti ada kuasa yang mahu melihat rundingan itu tidak berjaya,” tambah beliau.
Wang turut menyatakan pihak-pihak itu seolah tidak mempedulikan keselamatan rakyat Ukraine serta kerugian yang dialami Eropah sebaliknya ada matlamat strategik yang lebih besar.
Menurut beliau China akan mengeluarkan dokumen mengenai pendirian China dalam menyelesaikan krisis Ukraine setelah setahun krisis itu berlanjutan.
“Dokumen itu akan menekankan sekali lagi tentang saranan penting Presiden Xi termasuk kedaulatan dan keutuhan wilayah pelbagai negara mesti dihormati, prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dipatuhi, keprihatinan keselamatan pelbagai negara yang rasional perlu dipentingkan dan semua usaha yang membawa manfaat kepada penyelesaian krisis secara damai seharusnya disokong,” kata Wang.
China juga menekankan perang nuklear perlu dielakkan dan menyeru agar keselamatan kelengkapan nuklear kegunaan awam terjamin.
Beliau berkata China menentang tindakan serangan terhadap loji janakuasa nuklear dan juga berharap agar semua pihak dapat bersama-sama membantah penggunaan senjata kimia dan biologi. – Bernama, 20 Februari, 2023.
Komen