Asean bakal anjur festival beli-belah serantau buat julung kali


Asean akan anjur acara beli-belah dalam talian serantau buat julung kali pada Ogos tahun ini untuk promosi perdagangan rentas sempadan melalui e-dagang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2023.

ASEAN akan menganjurkan acara beli-belah dalam talian serantau buat julung kali pada Ogos tahun ini untuk mempromosikan perdagangan rentas sempadan melalui e-dagang.

Indonesia selaku presiden Asean 2023, baru-baru ini mencadangkan agar langkah untuk menggalakkan e-dagang dalam kalangan negara anggota perlu dilakukan bagi menarik minat pengguna dan perniagaan kecil dan sederhana.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA) acara itu akan diadakan pada Hari Asean (8 Ogos) yang akan menampilkan pelbagai produk dari negara Asean pada harga diskaun.

Menurut e-Conomy SEA 2018, semua ekonomi berasaskan internet di Asean termasuk pelancongan dalam talian, e-dagang, media dalam talian dan perkhidmatan e-panggilan dianggarkan mencecah AS$72 bilion.

Kajian e-Conomy itu juga meramalkan ekonomi internet Asia Tenggara boleh melepasi AS$240 bilion menjelang 2025.

Pada 2019, Perjanjian Perdagangan Elektronik Asean ditandatangani bagi memudahkan pembangunan transaksi e-dagang dalam badan serantau itu selain mengukuhkan kerjasama antara negara anggota. – Bernama, 20 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen