SEKURANG-KURANGNYA 41,020 terkorban akibat bencana gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lalu, menurut agensi pengurusan bencana negara itu, lapor Agensi Anadolu.
Menurut agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) seramai 19,436 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tempatan dan antarabangsa sedang menjalankan misi SAR di kawasan bencana dan 216,166 khemah dibina di zon gempa.
Misi SAR di zon gempa di wilayah yang terjejas sudah ditamatkan kecuali di wilayah Kahramanmaras dan Hatay, kata ketua AFAD Yunus Sezer kepada pemberita.
Sezer berkata misi SAR diteruskan di hampir 40 bangunan manakala lebih 6,000 kontena disediakan dan lebih 460,900 dipindahkan setakat ini.
“Kami kini menerima 318,970 mangsa yang dipindahkan dari kawasan yang dilanda gempa bumi di rumah tumpangan awam dan hotel.
“Lebih sejuta mangsa bencana di wilayah itu kini ditempatkan di khemah, kontena dan rumah tumpangan awam,” katanya.
Sezer berkata bantuan tunai 10,000 lira Turki (AS$531) diagihkan kepada hampir 800,000 rakyat.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Murat Kurum berkata pemeriksaan di 927,000 bangunan di wilayah Gaziantep selesai.
“Kita akan melaksanakan kempen pembinaan rumah terbesar dalam sejarah negara kita di 11 wilayah yang terjejas dan akan menyediakan rakyat kita rumah yang selamat untuk didiami,” katanya.
Pada 6 Februari, gempa bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di Kahramanmaras menjejaskan 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Hatay, Gaziantep, Malatya, Kilis, Osmaniye, Elazig dan Sanliurfa.
Lebih 13 juta penduduk terjejas dan beberapa negara di rantau itu termasuk Syria dan Lubnan turut merasai gegaran kuat. – Bernama, 20 Februari, 2023.
Komen