Jeneral AS beri amaran China ancaman terbesar di angkasa lepas


AS bimbang dengan kepesatan China dalam membangunkan teknologi angkasa lepas. – Gambar fail EPA, 19 Februari, 2023.

ANGKASA lepas “berubah secara asasnya” dalam beberapa tahun kebelakangan berikutan perlumbaan senjata perang yang semakin meningkat.

Seorang jeneral Amerika Syarikat (AS) mendakwa China sebagai ancaman paling mencabar dalam aspek itu diikuti oleh Russia.

“Kami melihat gabungan keseluruhan senjata dihasilkan oleh pesaing strategik kami sebelum membuat kesimpulan,” kata Jeneral Bradley Chance Saltzman, ketua operasi angkasa AS kepada media di luar persidangan keselamatan global di Munich, Jerman.

Beliau turut menyenaraikan teknologi termasuk peluru berpandu anti-satelit, tenaga terarah disasarkan ke darat dan keupayaan pemintasan di orbit.

“Kita perlu mengambil kira hakikat perlumbaan penerokaan ruang angkasa lepas kini sudah berubah secara asasnya.

“Cara bagaimana kita beroperasi di angkasa lepas perlu berubah kerana kebanyakan senjata China dan Russia kini turut diuji keupayaannya di angkasa lepas dan dalam beberapa kes, sudah beroperasi,” katanya.

Ketegangan AS-China yang semakin meningkat makin terserlah apabila Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan diplomat tertinggi Beijing, Wang Yi bertegang urat berhubung dakwaan belon pengintip China yang ditembak jatuh di AS.

Blinken memberi amaran kepada Wang, China tidak boleh mengulangi tindakan tidak bertanggungjawab seperti menghantar belon ke ruang udara AS, manakala Wang berkata reaksi Washington menembak jatuh belon itu merosakkan hubungan dua kuasa besar dunia itu.

Perlumbaan senjata bukan perkara baharu di dunia kerana seawal 1985, Pentagon menggunakan peluru berpandu untuk memusnahkan satelit dalam satu ujian.

Sejak itu, AS berusaha keras menunjukkan mereka boleh bersaing dengan China melakukan perkara sama pada 2007 dan India pada 2019. – AFP, 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen