TURKIYE menamatkan usaha menyelamat di semua wilayah kecuali dua yang paling teruk dilanda gempa bumi mega minggu lalu yang mengorbankan puluhan ribu orang, kata agensi bencana Turki pada Ahad.
“Di kebanyakan wilayah kami, usaha mencari dan menyelamat sudah selesai. Ia bagaimanapun diteruskan di wilayah Kahramanmaras dan Hatay,” kata ketua agensi itu Yunus Sezer kepada pemberita di Ankara.
Pusat gempa bumi dengan magnitud 7.8 pada 6 Februari lalu adalah di daerah Pazarcik di Kahramanmaras.
Sezer berkata usaha mencari dan menyelamat diteruskan di sekitar 40 bangunan di wilayah itu pada hari ke-14, tetapi menjangkakan jumlah itu akan berkurangan menjelang petang Ahad.
Ketua agensi itu juga berkata angka kematian di Turkiye meningkat kepada 40,689.
Jumlah keseluruhan kematian termasuk di Syria kini 44,377.
Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay berkata pada Sabtu, kira-kira 105,000 bangunan sama ada runtuh, perlu dirobohkan atau rosak teruk dalam gempa itu.
Pada Sabtu, penyelamat menemui seorang lelaki dan seorang wanita dalam keadaan masih bernyawa selepas jam ke-296 di bandar Antakya di selatan Turkiye tetapi tiga anak mereka terkorban, lapor media tempatan. – AFP, 19 Februari, 2023.
Komen