POPULASI tidak berumah, atau golongan tuna wisma, di Australia telah meningkat lebih 13 peratus dalam tempoh lima tahun berdasarkan data yang didedahkan pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut Bancian Penduduk dan Perumahan Biro Statistik Australia (ABS) 2016 yang dikeluarkan pada Rabu, sejumlah 116,427 orang tidak memiliki rumah ketika bancian dilakukan, menyaksikan peningkatan daripada 102,439 pada 2011.
Kadar pertumbuhan golongan tuna wisma turut meningkat sebanyak 4.6 peratus, iaitu 50 orang bagi setiap 10,000 orang.
Pengurus Besar Statistik Populasi dan Sosial ABS, Paul Jelfs, berkata orang yang tinggal di rumah “terlalu sesak,” didefinisi sebagai memerlukan empat atau lebih bilik tidur tambahan untuk keselesaan penghuninya, adalah penyumbang terbesar kepada pertumbuhan golongan tuna wisma.
“Pada 2016, golongan ini berjumlah 51,088 orang, meningkat daripada 41,370 pada 2011,” kata Jelfs dalam satu siaran media pada Rabu.
“Pada malam bancian, sejumlah 8,200 orang dianggarkan telah ‘tidur di luar’ kediaman yang diimprovisasi atau khemah—meningkat daripada 3.2 orang bagi setiap 10,000 orang pada 2011 kepada 3.5 orang bagi setiap 10,000 orang pada 2016.”
Beliau berkata terdapat pertumbuhan yang ketara dalam kadar orang tidak berumah di Australia, dan satu perempat daripada mereka berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun pada 2016.
Kadar golongan berusia lingkungan 65 hingga 74 tahun yang berdepan situasi tidak berumah turut meningkat kepada 27 orang bagi setiap 10,000 orang, berbanding 25 pada 2011.
Pendatang baru-baru ini menyumbang sebanyak 15 peratus kepada populasi tidak berumah dengan majoriti daripada mereka berasal dari negara di tenggara, timur laut, tengah dan selatan Asia.
ABS telah bekerjasama dengan beberapa penyedia perkhidmatan bagi menghitung populasi tidak berumah ini, tugasan yang disifatkan oleh Jelfs sebagai satu “cabaran yang rumit.” – Bernama, 14 Mac, 2018.
Komen