Tentera Israel bunuh 15 orang di Damsyik


Serangan udara Israel mengorbankan 15 nyawa di Syria dan merosakkan bangunan di daerah Damsyik pada Sabtu. – Gambar fail EPA, 19 Februari, 2023.

SERANGAN udara Israel di Syria mengorbankan 15 orang dan merosakkan bangunan di daerah Damsyik yang menempatkan beberapa agensi keselamatan negara, kata kumpulan pemantau perang.

Orang awam, termasuk dua wanita antara yang terbunuh dalam serangan Israel yang paling dahsyat di ibu negara Syria setakat ini, kata ketua pejabat pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.

Serangan itu merosakkan bangunan 10 tingkat berhampiran pusat kebudayaan Iran di daerah Kafr Sousa, yang menempatkan pegawai kanan dan ibu pejabat perisikan Syria, kata pejabat pemantau yang berpangkalan di Britain.

Sasaran sebenar serangan tidak diketahui namun AFP melaporkan terdapat kesan kawah besar dan sisa runtuhan serta tingkap bangunan berdekatan turut musnah.

Peluru berpandu turut meletupkan gudang milik pejuang Iran dan pro-rejim Hizbullah berhampiran Damsyik, kata pejabat pemantau yang bergantung kepada rangkaian luas sumber di dalam Syria.

Kementerian pertahanan Syria mengesahkan angka awal kematian termasuk seorang askar dan 15 orang awam yang cedera serta beberapa daripada mereka dikatakan berada dalam keadaan kritikal susulan serangan di Kafr Sousa sejurus selepas tengah malam.

“Pada awal pagi, musuh Israel melakukan pencerobohan udara dari arah Bukit Golan menyasarkan beberapa kawasan di Damsyik dan sekitarnya termasuk kawasan perumahan,” katanya.

“Pasukan pertahanan Syria menembak jatuh beberapa peluru berpandu,” tambah kementerian itu dalam kenyataan.

Jurucakap tentera Israel pada Ahad hanya berkata Israel tidak mengulas mengenai laporan di media asing.

Akhir tahun lalu, ketua direktorat operasi pasukan pertahanan Israel, Oded Basiuk, ketika membentangkan tinjauan operasi untuk 2023 berkata tentera tidak akan menerima Hizbullah 2.0 di Syria.

Di Tehran, jurucakap kementerian luar Nasser Kanani mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis terhadap sasaran di Damsyik dan pinggir bandarnya, termasuk terhadap bangunan kediaman tertentu.

“Serbuan itu menyebabkan rakyat Syria yang tidak bersalah mati dan cedera,” katanya.

Serangan terbaharu itu berlaku lebih sebulan selepas serangan peluru berpandu Israel menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik, mengorbankan empat orang, termasuk dua tentera. – AFP, 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen