Bukan mudah jumpa Azmin di Bukit Antarabangsa, kata pengundi


Mohd Farhan Darwis

Bekas menteri besar Selangor Azmin Ali dijangka sukar pertahan kerusi Bukit Antaarabangsa menyebabkan beliau umum berehat dari politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2023.

PENGUNDI Bukit Antarabangsa mengaku lebih mudah menemui penyelaras kawasan DUN itu, Suzana Saharudin berbanding wakil rakyat mereka sendiri Azmin Ali.

Pemilih yang ditemui The Malaysian Insight juga berkata mereka lebih mudah mendapatkan bantuan dari Suzana kerana pemimpin PKR itu sebahagian dari jentera kerajaan negeri Selangor.

Warga Bukit Antarabangsa ini melihat Suzana lebih aktif bergerak di dalam kawasan itu berbanding Azmin yang menguasai kerusi itu sejak 2008.

Pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifuddin Abdullah, 40, berkata beliau sudah beberapa kali berjaya menerima bantuan daripada Suzana.

“Alhamdulillah ada berapa sumbangan kami sekeluarga dapat dari penyelaras DUN Bukit Antarabangsa, kami kenal Suzana.

“Kami memang pernah mendapat sumbangan daripada beliau, atau pegawainya,” kata pemandu kenderaan logistik itu.

Azmin pertama kali menang kerusi itu dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sebagai calon Pakatan Rakyat pada waktu, yang membolehkannya dilantik menjadi menteri besar Selangor.

Beliau berjaya mengekalkannya dalam PRU14 pada 2018 sebagai calon Pakatan Harapan (PH) namun kemudian dipecat dari PKR kerana terlibat dengan percaturan politik Langkah Sheraton.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak pada waktu itu seterusnya menyertai Bersatu dan dilantik menjadi menteri kanan dalam pentadbiran perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin.

Beliau berjaya mengekalkan kedudukan kabinet apabila Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri kesembilan pada Ogos 2019.

Azmin mengekalkan kerusi Bukit Antarabangsa sekali lagi dalam PRU15 pada November lalu, namun tewas di kerusi Parlimen Gombak.

Gabungan Perikatan Nasional yang disertai Bersatu juga tewas dalam pilihan raya itu, dan sejak itu Azmin tidak lagi dilihan turun padang di Bukit Antarabangsa, kata pengundi.

Sharifuddin berkata, beliau lebih mudah melihat Suzana turun padang meninjau kawasan dan menganjurkan program bersama penduduk.

“Wakil rakyat dan Adun di sini Azmin, tetapi yang saya tahu penyelaras DUN yang banyak turun padang,” katanya.

Sharifuddin berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana banyak isu perlu diberikan perhatian di Bukit Antarabangsa seperti kesesakan jalan raya yang menyukarkan penduduk.

Beliau diminta menyorot kembali prestasi Azmin sebagai wakil rakyat di kawasan itu selepass Azmin mengumumkan untuk berehat sebentar dari arena politik.

Ketua penerangan Perikatan Nasional itu mengumumkan beliau ingin membuat perancangan baharu namun akan terus berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Kenyataan itu dikeluarkannya kira-kira tiga bulan kecundang di kerusi Gombak di tangan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Seorang lagi pengundi, Mimi Rahim tidak pernah melihat Azmin turun padang di kawasan tersebut walaupun mengenali Azmin sebagai pemimpin kerajaan persekutuan.

Mimi, 30, juga berkata perkhidmatan cemerlang pihak berkuasa tempatan di kawasan itu tidak memerlukan wakil rakyat kerap berada di kawasan.

Oleh itu pengurus kewangan itu tidak pasti sekiranya Azmin wajar mendapat pujian atas segala perkhidmatan yang disalurkan kerajaan di Bukit Antarabangsa.

“Saya secara peribadi tidak pernah nampak Azmin turut padang setakat ini, tetapi majlis perbandaran agak efektif, sejujurnya saya tak pasti perlu puji Adun atau tidak,” katanya.

Penganalisis politik Mazlan Ali pula melihat, kedudukan Azmin sebagai pemimpin peringkat persekutuan menyebabkan beliau kurang memberikan perhatian kepada kerusi negeri itu.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, sepanjang tempoh itu, Azmin merupakan ahli Parlimen Gombak dan menjadi menteri kanan.

“Sebelum ini Azmin berperanan di peringkat persekutuan sebagai menteri. Mungkin tak dapat fokus kepada DUN Bukit Antarabangsa,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

Oleh itu Azmin wajar berehat seketika daripada arena politik kerana beliau berisiko mengulangi sejarah dan hilang kerusi DUN Bukit Antarabangsa dalam pilihan raya negeri akan datang, katanya.

Mazlan berkata, jangkaan untuk Azmin tewas di Bukit Antarabangsa berasas memandangkan beliau tidak lagi bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) yang disokong pengundi berbilang bangsa.

“Kalau nak kait ketidakyakinan Azmin di Bukit Antarabangsa ada asas. Ini kawasan Melayu bandar, yang di mana jumlah pengundi bukan Melayu juga agak signifikan,” kata Mazlan.

Jumlah pengundi Melayu sekitar 53% yang menunjukkan jumlah pengundi bukan Melayu yang besar di Bukit Antarabangsa.

PN yang diwakili Azmin pula dikenali sebagai parti majoriti Melayu dan Islam dan ditolak di kawasan campuran dan majoriti bukan Melayu dalam PRU15.

Mazlan memberi pandangan itu berpandukan contoh sikap pengundi yang ditunjukkan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Ampang.

PDM dengan majoriti pengundi Cina itu pernah membantu kemenangan Azmin dalam PRU14 selepas kawasan itu dipindahkan ke Bukit Antarabangsa dari DUN Hulu Kelang.

Waktu itu Azmin menambah majoritinya sebanyak lebih 20% berbanding 2013 yang membolehkan beliau meraih lebih 25,500 undi pada 2018.

Mazlan menjelaskan, Situasi itu bagaimanapun akan berubah dalam PRN Selangor kerana kumpulan yang menyokong Azmin waktu itu dijangka mampu menjatuhkannya kali ini.

“Kemungkinan beliau akan hadapi masalah di kawasan ini kerana pengundi Cina di Kuala Ampang banyak sedangkan trend pengundi Cina tak memihak kepada PN.

Mazlan melihat ia adalah antara cabaran terbesar yang bakal dihadapi Azmin jika bertanding PRN nanti.

“Satu cabaran agak besar, bukan soal perkhidmatan juga tapi soal tidak lagi bersama PH dan berada dalam blok politik berasaskan Melayu

“Kenyataan Azmin untuk berehat sebentar mungkin juga kesan tewas di Gombak dan kalau tewas sekali lagi di Bukit Antarabangsa akan beri kesan kepada kewibawaan sebagai ahli politik kanan.”

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula melihat Azmin wajar meneroka kawasan lain kerana data menunjukkan beliau tidak selamat untuk kekal di Bukit Antarabangsa.

“Mungkin beliau takut PN di kawasan dia ditolak agak besar jadi perlu cari kerusi (selamat untuk) PN…(Bukit Antarabangsa) terlalu berisiko tinggi.

“Tiket (bertanding) atas parti lain (PN) sedangkan orang bandar tolak PN,” kata Awang Azman.

Awang Azman bagaimanapun percaya segalanya boleh berlaku dalam politik, walaupun Azmin membuat pengumuman sedemikian.

“Kenyataan berehat sekejap sangat subjektif. Boleh jadi dua bulan, tiga bulan, atau enam bulan, atau lima tahun.

“Bagi saya itu seperti ingin menguji lapangan, strategi untuk tidak menonjolkan diri,” katanya.

Tambahnya, pengumuman itu juga dilihat sebagai strategi Azmin untuk mencari kawasan lain.

“Boleh jadi beliau mencari strategi di kawasan DUN lain yang boleh menjanjikan kemenangan,” tambahnya.

Kenyataan dari pemimpin PN menunjukkan gabungan itu mempertimbangkan untuk Azmin kembali menjadi menteri besar Selangor, sekiranya mereka berjaya menubuhkan kerajaan.

Namun laluan berliku tetap menanti Azmin sekiranya kekal bertanding di Bukit Antarabangsa, kata Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, kata Zulkafperi Hanafi.

Beliau dilaporkan berkata, PN turut mensasarkan untuk memenangi 33 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor dalam PRN kelak. – 20 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen