Perarakan bawa senjata replika timbul kegusaran, kata polis


Gambar tular apabila sekumpulan pemuda berarak dengan membawa senjata replika di Setiu, Terengganu. – Gambar Facebook Aslam Wira, 19 Februari, 2023.

POLIS Terengganu akan menyiasat program perarakan sekumpulan pemuda sebuah parti politik yang didakwa membawa senjata di Setiu, pada Jumaat.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata video perarakan itu tular di media sosial, yang memaparkan kumpulan pemuda itu membawa senjata replika sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam masyarakat.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dalam program perarakan itu dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 17 Februari di sebuah kawasan resort di Setiu. Perarakan itu merupakan salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program itu disertai setiap daerah di negeri itu dengan hanya satu kumpulan mengenakan pakaian sambil membawa senjata replika.

Menurut Rohaimi, pihaknya mengetahui mengenai program itu, namun tidak dimaklumkan mengenai perarakan membawa senjata replika. – Bernama, 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen