SEBUAH pesawat kecil yang membawa empat orang penumpang terhempas di tengah Filipina pada Sabtu ketika pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang terselamat, kata pegawai penerbangan.
Pesawat Cessna 340 itu dilaporkan hilang awal pagi Sabtu sejurus sebaik berlepas ke Manila dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol, selatan ibu negara, kata pihak berkuasa penerbangan awam Filipina (CAAP) dalam satu kenyataan.
Pesawat itu membawa dua penumpang, seorang juruterbang dan seorang kru, menurut pengawal selia penerbangan.
Jurucakap CAAP, Eric Apolonio berkata pasukan mencari dan menyelamat tempatan sudah mengenal pasti kemungkinan tempat nahas berhampiran lapangan terbang.
“Masalahnya ialah cuaca buruk menghalang usaha pencarian,” tambahnya.
Kemalangan udara itu berlaku kurang sebulan selepas sebuah lagi pesawat Cessna hilang pada 24 Januari lalu di wilayah utara Isabela.
Pencarian serpihan pesawat itu masih diteruskan.
Dalam kejadian berasingan, dua juruterbang tentera udara Filipina turut terbunuh ketika latihan bulan lalu apabila pesawat SF260 Marchetti mereka terhempas di atas kawasan sawah padi di wilayah Bataan, dekat Manila. – AFP, 19 Februari, 2023.
Komen