Pelajar hilang di Tanjung Rhu ditemukan lemas 


PELAJAR Kejuruteraan Penerbangan Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) yang dilaporkan hilang semasa mandi-manda di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi petang semalam ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata mayat Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli, 20, dijumpai pasukan penyelamat di kedudukan mangsa dilaporkan hilang iaitu lebih kurang 50 meter dari pantai pada pukul 1.24 tengah hari.

“Mayat dicamkan oleh ibu, ibu saudara dan sepupu mangsa. Pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan perubatan. Mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat Muhammad Fahmi Hafizi melibatkan seramai 69 anggota dan pegawai terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam.

Terdahulu, Shariman dalam laporan media hari ini berkata bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi menerima panggilan mengenai kejadian menimpa Muhammad Fahmi Hafizi pada 7.20 malam tadi.

Katanya mangsa cuba diselamatkan rakan-rakan serta pelancong namun gagal kerana arus kuat.

Mangsa yang beralamat di Langgar, Alor Setar bersama rakan-rakannya dikatakan baru dua minggu berada di pulau pelancongan berkenaan bagi menjalani latihan industri. – Bernama, 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen