Polis panggil Pemuda PAS Terengganu isu perarakan bersenjata


Diyana Ibrahim

Gambar yang beredar di pelantar laman sosial menunjukkan kumpulan kira-kira 10 orang berpakaian jubah putih dan serban hijau serta seragam hitam. – Gambar Facebook, 19 Februari, 2023.

POLIS Terengganu memanggil penganjur satu acara melibatkan kumpulan peserta berpakaian seragam yang berarak sambil membawa objek berbentuk senjata di satu jalan di negeri itu semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Afandi Hussin mengesahkan anggotanya menghubungi penganjur, Pemuda PAS Terengganu untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung program itu.

“Kita dalam penilaian. Sekarang kita tengah menunggu adakah laporan yang telah dibuat dan tindakan yang boleh kita ambil dari sudut jenayah, kita sedang buat penilaian.

“(Bila siasatan akan dibuat) itu kita akan maklumkan kemudian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga tidak dapat memastikan keaslian objek yang dibawa peserta perhimpunan tersebut sama ada senjata sebenar atau hanya replika.

“Kita sedang siasat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis juga akan menunggu semua siasatan selesai untuk menilai sama ada terdapat pelanggaran undang-undang dalam perarakan tersebut.

“Kita perlu siasat untuk lihat apa konteks perhimpunan tersebut barulah kita tengok apa (pendakwaan mengikut) akta yang sesuai jika ada kesalahan,” katanya.

Afandi ditanya mengenai program yang memaparkan peserta berarak dengan memegang objek senjata berbentuk pedang, tombak dan perisai.

Gambar yang beredar di pelantar laman sosial hari ini menunjukkan kumpulan kira-kira 10 orang berpakaian jubah putih dan serban hijau serta seragam hitam.

Kumpulan itu dirakam berarak di satu jalan yang dihiasi bendera parti PAS.

Turut menyertai perarakan itu satu kenderaan pacuan empat roda yang membawa muatan berbentuk pedang besar.

Gambar yang beredar juga menunjukkan objek seperti seperti pesawat pejuang dan kereta kebal tentera dalam acara terbabit.

Difahamkan, perarakan itu sebahagian dari acara Himpunan Pemuda Islam Terengganu anjuran Pemuda PAS negeri itu.

Acara perhimpunan itu dihadiri presiden parti Abdul Hadi Awang semalam manakala acara perarakan dirasmikan Pesuruhjaya PAS Terengganu Hussain Awang.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berasa hairan selepas melihat anggotanya berarak dengan membawa objek senjata tersebut.

Fadhli dilaporkan Free Malaysia Today sebagai berkata, beliau hanya dijemput ke pelancaran acara tersebut dan tidak mengetahui mengenai perarakan berkenaan.

“Saya hanya nampak gambar pagi ini, saya rasa hairan,” katanya yang menambah beliau tidak menyertai perarakan berkenaan. – 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen