NAIB Presiden AS Kamala Harris pada Sabtu menuduh Rusia melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan” di Ukraine dan tentera Rusia melakukan serangan “meluas dan sistematik” ke atas penduduk awam negara itu.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu di Persidangan Sekuriti Munich, beberapa hari sebelum genap setahun pencerobohan Moscow di Ukraine, mencetuskan perang di benua Eropah selepas beberapa dekad.
“AS secara rasmi pasti yang Rusia melakukan jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya dalam ucap tama kepada pemimpin dunia pada persidangan itu.
Ini adalah kali pertama AS secara rasmi menyifatkan tindakan Rusia di Ukraine sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
“Tindakan mereka adalah serangan kepada nilai dan kemanusiaan bersama kita. Tentera Rusia melakukan serangan meluas dan sistematik ke atas populasi awam,” tambah Harris.
Beliau turut menyenaraikan beberapa jenayah yang katanya dilakukan tentera Moscow di Ukraine termasuk pembunuhan, rogol dan penyiksaan. – AFP, 19 Februari, 2023.
Komen