KETUA hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu memberi amaran yang perkembangan terkini kecerdasan buatan mewujudkan ancaman besar kepada hak asasi dan mendesak pemantauan bagi menghalang pelanggaran hak.
Minggu ini, lebih 60 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan China mendesak penyeliaan AI dalam bidang pertahanan bagi memastikan “ia tidak meminggirkan keselamatan, kestabilan dan kebertanggungjawaban antarabangsa”.
Wujud pertambahan kebimbangan berkaitan dron dipandu AI, ‘bot pembunuh’ yang boleh membunuh tanpa campur tangan manusia dan risiko kecerdasan buatan yang boleh mencetuskan konflik ketenteraan.
“Saya sangat terganggu dengan potensi kebinasaan dalam perkembangan terkini kecerdasan buatan,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia Volker Turk.
“Agensi manusia, maruah manusia dan semua hak asasi manusia berdepan risiko serius. Ini adalah desakan segera kepada perniagaan dan kerajaan untuk membangunkan dengan segera garis panduan berkesan yang sangat diperlukan kini,” katanya.
Kecerdasan buatan kini memasuki kehidupan harian manusia seluruh dunia, mencetuskan revolusi pencarian dalam internet, mengubah kaedah pemantauan kesihatan dan mewujudkan inovasi baru seperti aplikasi yang boleh menjana kandungan bertulis dalam tempoh beberapa saat.
Pengkritik sudah membangkitkan isu berkaitan dengannya termasuk pelanggaran privasi dan bias algoritma.
“Kami akan memantau dekat, menyediakan kepakaran khusus kami dan memastikan dimensi hak asasi kekal sebagai asas dalam perkembangan ke hadapan,” kata Turk. – AFP, 19 Februari, 2023.
Komen