Al-Qaeda dan pemberontak Huthi di Yaman tukar tahanan


Amerika Syarikat menganggap Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) sebagai cabang paling bahaya dalam rangkaian Al-Qaeda. – Gambar AFP, 19 Februari, 2023.

AL-QAEDA pada Sabtu melakukan penukaran tahanan dengan pemberontak Huthi disokong Iran di Yaman, mendapatkan semula dua orang ahlinya dalam pertukaran itu, lapor SITE Intelligence Group.

Dua tahanan Huthi ditukar dengan dua orang pengganas Al-Qaeda, Al-Qaqa al-Bihani dan Muwahhid al-Baydhnani, pada 14 Februari, kata Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP).

AQAP dan kumpulan militan pesaing yang setia kepada Kumpulan Negara Islam kembali bangkit dalam perang saudara di Yaman, yang menemukan kerajaan disokong Arab Saudi dan pemberontak Huthi disokong Iran.

Amerika Syarikat menganggap AQAP sebagai cabang paling bahaya dalam rangkaian Al-Qaeda.

Sumber sekuriti di bandar Sanaa dikawal pemberontak Huthi mengesahkan penukaran tahanan itu kepada AFP, tetapi tiada butiran lanjut diberikan.

Menurut laman web SITE, dua tahanan Huthi dibebaskan dalam penukaran tahanan itu.

Yaman terheret konflik sejak 2015, apabila pakatan diketuai Arab Saudi masuk campur untuk menyokong kerajaan negara itu selepas pemberontak Huthi berjaya merampas kawalan bandar Sanaa dan sebahagian besar negara itu.

Konflik itu sudah membunuh ribuan orang awam dan mencetuskan krisis kemanusian terburuk sedang berlaku, menurut PBB, dengan jutaan penduduk kini menjadi pelarian. – AFP, 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen