Iran dakwa wanita 'tidak hormati' tudung


Sejak protes Mahsa Amini meletus tahun lepas, semakin ramai wanita keluar tanpa menutup rambut terutamanya di bandar-bandar besar Iran. – Gambar AFP, 19 Februari 2023.

BADAN kehakiman Iran mendakwa seorang wanita kerana “tidak menghormati” tudung Islam selepas melemparkannya ke tanah semasa mesyuarat awam, lapor agensi berita Iran semalam.

Keperluan untuk wanita memakai tudung di khalayak ramai yang termaktub dalam undang-undang sejak sejurus selepas revolusi Islam 1979 mencetuskan protes di seluruh negara itu sejak kematian dalam tahanan Mahsa Amini, 22, pada September berikutan penahanannya atas dakwaan melanggar undang-undang etika berpakaian.

“Prosiding undang-undang dilancarkan terhadap seorang wanita yang tidak menghormati tudungnya semasa pemilihan untuk cawangan Tehran Pertubuhan Kejuruteraan Pembinaan,” kata agensi berita Tasnim.

Sebuah video pendek yang diterbitkan oleh akhbar perbandaran Tehran Hamshahri menunjukkan seorang wanita membuang tudungnya ke tanah ketika peserta meninggalkan mesyuarat.

Sejak protes Amini meletus tahun lepas, semakin ramai wanita keluar tanpa menutup rambut terutamanya di bandar-bandar besar Iran.

Pada 10 Januari badan kehakiman berkata ia mahu meneruskan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang yang menetapkan hukuman berat bagi pelanggaran etika berpakaian.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini beberapa kafe, restoran dan farmasi ditutup kerana menerima pelanggan yang tidak bertudung. – AFP, 19 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen