Belanda usir diplomat Rusia, tutup pejabat misi dagang


Hubungan Belanda dan Rusia semakin keruh sejak tragedi MH17 dengan siasatan pasukan antarabangsa menemui bukti penglibatan Rusia dalam kes itu. – Gambar AFP, 19 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Luar Belanda pada Sabtu mengumumkan pengusiran beberapa orang diplomat Rusia dan penutupan misi perdagangan Rusia di Amsterdam, menuduh Moscow menggunakan saluran diplomatik untuk perisikan.

Dalam perkembangan terbaru berkaitan kegagalan Rusia memberikan visa kepada diplomat Belanda bagi menempatkan kakitangan di kedutaan mereka di Moscow dan konsulat di Saint Petersburg.

Disebabkan kekurangan kakitangan, konsulat terpaksa ditutup pada Isnin walaupun pejabat kedutaan masih dibuka, tambah kenyataan itu.

Belanda berulang kali cuba mencari penyelesaian konflik itu, kata kementerian lagi.

“Sesuatu yang tidak boleh diterima dengan tindakan Rusia cuba menempatkan perisik mereka di Belanda yang berselindung di sebalik saluran diplomatik,” kata Menteri Luar Wopke Hoekstra di Twitter pada Sabtu.

“Kerana itulah kami menghadkan jumlah diplomat Rusia di Belanda.”

Diplomat Rusia dimaklumkan yang mereka perlu meninggalkan negara itu dalam tempoh dua minggu, sementara itu misi perdagangan Rusia di Amsterdam perlu ditutup bermula Selasa, kata kenyataan kementerian itu lagi.

Hoekstra memberitahu stesyen penyiaran Belanda, NOS, yang beliau menjangkakan berpuluh orang diplomat Rusia perlu keluar dari negara itu.

Penutupan misi perdagangan Rusia adalah “tindak balas kepada keberterusan pelanggaran hak asasi antarabangsa” oleh Moscow, kata Hoekstra dalam surat berasingan kepada Parlimen.

Ia akan terus ditutup “sehingga Persekutuan Rusia menghentikan pelanggaran sekatan serangan ke atas penduduk dan infrastruktur awam” di Ukraine, katanya lagi.

Tindakan ketenteraan Rusia di Ukraine mencetuskan gelombang kecaman dan sekatan antarabangsa disertai dengan pengusiran beratus-ratus diplomat Rusia dari negara Barat, dengan sesetengah daripada mereka dituduh melakukan kerja risikan.

Moscow bertindak balas dengan turut mengusir berpuluh-puluh orang diplomat negara Barat.

Belanda mengusir 17 orang diplomat Rusia sebaik sahaja Ukraine diceroboh pada Februari tahun lalu, hanya 58 orang lagi berada di negara itu sebelum pengumuman pada Sabtu, menurut laporan media.

Sebagai tindak balas, Rusia menyingkir 15 orang diplomat Belanda, dan rundingan menamakan diplomat terbaru gagal, kata kerajaan Belanda.

Kesannya, “Kedutaan Rusia di The Hague tidak akan mempunyai jumlah kakitangan lebih daripada Kedutaan Belanda di Moscow”, katanya.

Ketegangan kedua-dua negara sudah memuncak sejak tragedi penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine pada 2014. Pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 196 warga Belanda dalam pesawat.

Pasukan penyiasat pada bulan lepas berkata terdapat “petunjuk kukuh” yang Presiden Rusia Vladimir Putin sendiri meluluskan bekalan peluru berpandu yang digunakan dalam tragedi itu.

Tahun lepas, mahkamah Belanda menjatuhkan sabitan bersalah kepada dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine berkaitan tragedi MH17, walaupun Rusia menafikan sekerasnya terlibat dalam kes itu.

Media melaporkan yang duta Belanda ke Rusia dipanggil menghadap Kementerian Luar Rusia awal minggu ini, dengan Moscow menuntut Belanda tidak “keterlaluan” dalam usaha menyalahkan Rusia dalam tragedi MH17 yang membunuh semua penumpang dan anak kapal itu. – AFP, 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen