Jumlah korban gempa bumi Turki-Syria meningkat lebih 44,000


Angka kematian akibat gempa bumi di Turki dan Syria hari ini meningkat kepada lebih 44,000. – Gambar AFP, 19 Februari, 2023.

ANGKA kematian akibat gempa bumi yang dahsyat di Turki dan Syria hari ini meningkat kepada lebih 44,000 dengan mayat bekas pemain bola sepak antarabangsa Ghana, Christian Atsu juga ditemui di bawah bangunan runtuh di Antakya.

Bilangan mangsa yang ditemui hidup di bawah runtuhan menurun dalam beberapa hari kebelakangan ini dan ketua agensi bencana Turki Yunus Sezer berkata operasi menyelamat “sebahagian besarnya akan selesai” menjelang malam Ahad.

Agensi berita negara Anadolu pada mulanya melaporkan pada hari Sabtu tiga orang ditemui hidup hampir dua minggu selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda pada 6 Februari. 

Tetapi agensi itu kemudian melaporkan salah seorang daripada mereka, seorang berusia 12 tahun meninggal dunia.

Imej Anadolu menunjukkan penyelamat meletakkan seorang lelaki dan seorang wanita di atas pengusung selepas pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak terperangkap selama 296 jam di bawah runtuhan di bandar Antakya di tenggara Turki.

Agensi itu kemudian melaporkan tiga anak mereka meninggal dunia termasuk yang berusia 12 tahun.

Menteri Kesihatan Turki Fahrettin Koca berkongsi video ibu berusia 40 tahun itu sedang menerima rawatan di hospital lapangan. 

Wartawan AFP berkata penyelamat dari Kyrgyzstan terus menjalankan usaha menyelamat di Antakya dengan harapan untuk menemui lebih ramai mangsa yang masih hidup. 

Semalam seramai empat mangsa berjaya diselamatkan dari runtuhan termasuk seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di wilayah sekitar Hatay. – Bernama, 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen