Akar umbi tak senang Shahrizat mahu lawan Noraini, kata pemimpin sayap


Diyana Ibrahim

Shahrizat Jalil mengumumkan bertanding merebut jawatan ketua Wanita Umno akan datang, tindakan yang mencetuskan kegusaran pemimpin sayap itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2023.

TINDAKAN bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil bertanding bagi merebut jawatan itu semula menyebabkan akar umbi sayap itu kurang senang, kata beberapa orang pemimpin.

Mereka mendedahkan kepada The Malaysian Insight, langkah itu seolah-olah membayangkan sayap itu ketandusan pemimpin walhal ia bukan situasi sebenar yang berlaku

Pemimpin ini berkata, barisan pemimpin sayap diketuai Noraini Ahmad tiada masalah tetapi hanya dilihat kurang menyerlah sejak Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Antaranya, Setiausaha Wanita Umno Rosni Sohar yang turut menyarankan agar Shahrizat tidak bertanding kerana ia memberi persepsi kurang baik kepada parti.

Rosni sebaliknya menganjurkan Shahrizat untuk menjadi penasihat sahaja jika mahu terus terlibat dalam sayap.

“Kita bimbang pandangan rakyat. Nampak kita macam ketandusan pemimpin pula. Tambah pula Shahrizat pernah terpalit dengan isu sebelum ini biarpun kes itu melibatkan suaminya,” katanya.

Beliau merujuk skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) – projek ternakan lembu yang diusahakan keluarga Shahrizat yang menggondol kontroversi pada 2010.

Kes itu memberi imej buruk pada Umno dan juga Shahrizat yang menjadi menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat pada masa itu.

“Kita tidak mahu ia terus menjadi isu. Biarlah sayap wanita terus kekal dengan kepemimpinan Ketua Wanita Noraini Ahmad dan Shahrizat boleh kembali sebagai penasihat,” katanya.

Rosni ditanya mengenai perkara itu selepas Shahrizat mengesahkan untuk menyertai pertandingan merebut jawatan ketua Wanita Umno.

Bekas ahli Parlimen Lembah Pantai yang memegang jawatan itu antara tahun 2008 dan 2018, menghantar kertas pencalonannya semalam di Ibu Pejabat Umno.

Perkembangan itu berlaku selepas kira-kira 147 ketua Wanita Umno bahagian di seluruh negara dilaporkan mendesak Shahrizat kembali mengetuai sayap wanita itu.

Mengulas lanjut Rosni berkata pencalonan Shahrizat juga menunjukkan Wanita Umno berundur ke belakang walhal sayap itu perlu diperkasa lagi.

Pertukaran pemimpin itu juga akan menjejaskan peluang Umno untuk bangkit semula dalam PRN kelak selepas kalah teruk dalam PRU15, ujarnya.

“Kita ada berapa bulan lagi nak hadapi PRN tapi kita masih di takuk lama. Paling penting adalah persepsi rakyat, sebab mereka akan menilai.

“Untuk PRN ini sekurang-kurangnya kita nak menang majoriti dalam enam negeri walaupun dalam keadaan kita baru tewas.

“Yang kita perlu lakukan tukar persepsi rakyat. Tapi sekarang kita nak tukar kepimpinan gerak utama (yang) memperlihatkan gerakan kita masih ke belakang. Ini yang membuatkan saya sangat kesal,” kata Rosni.

Noraini Ahmad mengambil alih tampuk ketua Wanita Umno dalam era kejatuhan Barisan Nasional dan kebangkitan Pakatan Harapan, seterusnya menyebabkan beliau sering dibandingkan dengan ketua Wanita terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2023.

Ketua Wanita Umno Terengganu Zaitun Mat Amin pula berkata tindakan Shahrizat itu bercanggah dengan pendirian sebelum ini untuk bersara dan menyerahkan peranan ketua sayap kepada Noraini.

“Kita jangan nampak sayap wanita ketandusan pemimpin.

“Apa yang saya kata ini bukan bermaksud Wanita tidak hormat Shahrizat, kita sangat menghormati beliau. Tapi bagi kita tak perlulah Shahrizat bertanding semula.

“Itu memang pilihan (bersara) beliau. Dulu kita pujuk Shahrizat banyak kali tapi tetap dengan keputusan tapi sekarang lain pulak keadaannya. Shahrizat sepatutnya tetap dengan pendirian asal.”

Zaiton berkata sepatutnya jawatan ketua wanita Umno juga tidak dipertandingkan sama seperti jawatan presiden dan timbalan presiden.

Katanya pertandingan seperti itu hanya akan menjejaskan tumpuan bagi persedian PRN yang adakan pada bila- bila masa.

“Kalau jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan atas alasan untuk keharmonian parti, patut jawatan ketua wanita juga begitu.

“Bagi saya perlu kekal dengan pimpinan sedia ada sahaja sebab kita pun nak berdepan dengan PRN. Wanita perlu ada keharmonian,” katanya.

Pada masa sama, beliau menolak persepsi bahawa kepemimpinan Noraini bermasalah sehingga menjadi punca Wanita Umno dilihat tidak menyerlah pada waktu ini.

Katanya, tidak adil untuk membandingkan tempoh jawatan Shahrizat kerana Noraini hanya memegang jawatan tersebut sewaktu BN tidak berkuasa selepas kalah teruk dalam PRU14.

Shahrizat pula menjadi ketua sayap ketika Umno dan BN masih menguasai kerajaan.

“Bukan soal kepimpinan tapi sebab status kita sebagai pembangkang. Apabila kita kalah kita tak ada jawatan, tak ada kuasa dan berdepan masalah kewangan.

“Jadi sudah ada tentu ada kelemahan dan kekurangan berbanding semasa tempoh Shahrizat. Wanita Umno ketika itu berada di kemuncak kerana kita dalam kerajaan.

“Jadi mudah untuk urus apa sahaja kegiatan akar umbi dan sumbang kepada ahli, berbanding ketika Noraini waktu BN tidak ada apa-apa,” katanya.

Tambahnya, BN pada waktu ini juga tidak menguasai kerajaan sepenuhnya.

Penganalisis politik Mazlan Ali pula berpendapat Shahrizat bakal menempuh laluan sukar untuk kembali menjadi ketua Wanita Umno.

Jelasnya, Noraini diketahui umum sebagai pemimpin yang setia dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Shahrizat pula masih lagi dibebani dengan skandal keluarganya.

“Kalau Shahrizat bertanding pun impaknya tak besar mana. Biarpun dia pernah ada pengaruh tapi hanya pada masa itu sahaja,” kata penganalisis Universiti Teknologi Malaysia itu.

Jelasnya, Shahrizat masih dibelenggu kontroversi dan beban dari skandal lama sewaktu dalam pentadbiran BN.

“Shahrizat ini terpalit dengan isu NFC dan ia isu yang dijadikan pembangkang untuk tembak kerajaan pada waktu itu.

“Rekod beliau tak macam Rafidah Aziz, beliau menyinar dan mengakhiri kariernya dan masih dihormati orang.

“Tidak seperti Shahrizat yang terpaksa berundur kerana skandal keluarganya,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan yang berpotensi mendorong pemimpin lama seperti Shahrizat untuk bertanding semula, Mazlan berpendapat ia berpunca dari krisis dalam parti Melayu itu.

Beliau berkata biarpun Zahid telah menyingkirkan ramai penentangnya namun pergolakan dalam Umno masih lagi wujud.

Mazlan berkata beliau tidak bermaksud Shahrizat kembali bertanding untuk menentang presiden, namun perbuatannya sudah tentu akan menimbulkan tanda tanya.

“Kita tahu Umno dalam pergolakan walau Zahid dah singkirkan ramai (orang) tapi gerakan singkirkan presiden ini tetap ada. Saya tidak kata Shahrizat ini nak menentang Zahid.

“Tapi dalam situasi sekarang macam-macam boleh berlaku. Apa sebab pemimpin lama tawarkan diri akan timbul lebih banyak persoalan kerana Umno itu masih lagi dalam krisis,” katanya.  – 19 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen