Mayat pemain bola sepak Ghana Atsu ditemui dalam runtuhan gempa Turkiye


Christian Atsu ketika beraksi dengan kelab Hatayspor dalam Super Lig Turkiye. – Gambar Facebook, 18 Februari, 2023.

MAYAT bekas pemain antarabangsa Ghana, Christian Atsu ditemui selepas gempa bumi besar di Turkiye, lapor media tempatan pada Sabtu, memetik pengurusnya.

Atsu, 31, terperangkap dalam gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang menggegarkan Turkiye dan Syria pada 6 Februari, mengorbankan lebih 43,000 orang di kedua-dua negara.

Terdapat laporan awal dia diselamatkan sehari selepas gempa bumi, namun ternyata ia berita palsu.

Pengurusnya di Turkiye, Murat Uzunmehmet memberitahu agensi berita DHA pada Sabtu, mayatnya ditemui di bawah runtuhan di wilayah Hatay, selatan Turkiye.

“Kami menemui mayatnya yang sudah tidak bernyawa. Barang-barangnya masih dikeluarkan. Telefonnya juga ditemui,” kata Uzunmehmet kepada DHA.

Pemain tengah Atsu menghabiskan empat musim di Chelsea sebelum perpindahan tetap ke Newcastle pada 2017. Dia menandatangani kontrak pada September bersama kelab Super Lig Turkiye, Hatayspor.

Pekerja mencari dan menyelamat menemui mayat Atsu di tempat dia menginap di Ronesans Residence, sebuah blok flat mewah bertingkat tinggi yang runtuh di bandar Antakya di Hatay.

Polis Turkiye menahan kontraktor bangunan itu di lapangan terbang Istanbul minggu lalu ketika dia kelihatan sedang menuju ke Montenegro, menurut agensi berita negara Anadolu. – AFP, 18 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen