KONGRES Peru meluluskan aduan perlembagaan terhadap bekas presiden Pedro Castillo dan dua bekas menteri atas dakwaan pertubuhan jenayah, menjaja gosip dan mengadakan pakatan sulit, lapor Xinhua.
Selepas lebih empat jam perbahasan, Kongres memutuskan untuk meluluskan laporan akhir berkenaan dengan 59 undi menyokong, 23 menentang dan tiga berkecuali.
Tindakan itu akan membolehkan Peguam Negara Patricia Benavides, yang memfailkan aduan pada Oktober 2022, untuk menjalankan siasatan dan memulakan prosiding jenayah terhadap Castillo.
Bekas menteri pengangkutan dan komunikasi Juan Silva Meza serta menteri perumahan, pembinaan dan sanitasi Geiner Alvarado Lopez turut didakwa atas kesalahan membabitkan organisasi jenayah.
Semasa sesi itu, peguam Castillo, Eduardo Pachas mengambil bahagian secara maya dan mengulangi kenyataan Castillo bahawa beliau menafikan tuduhan rasuah dan organisasi jenayah, meminta dibenarkan untuk mengemukakan pembelaannya secara peribadi.
Bekas presiden itu ditahan di penjara Barbadillo selama 18 bulan, sementara disiasat atas dakwaan “pemberontakan” selepas cuba membubarkan Kongres pada 7 Disember. – Bernama, 18 Februari, 2023.
Komen