PEREBUTAN untuk membeli Manchester United menjadi semakin jelas hari ini apabila konsortium diketuai Pengerusi Qatar Islamic Bank (QIB) Sheikh Jassim Hamad Al Thani mengumumkan mereka menghantar tawaran untuk mengawal sepenuhnya kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
“Sheikh Jassim hari ini mengesahkan sudah menghantar tawaran bagi mendapatkan 100% Kelab Bola Sepak Manchester United,” kata kenyataan akhbar menjelang tarikh akhir untuk pihak yang berminat.
Kenyataan itu tidak memberikan sebarang butiran terperinci cadangan pembelian kelab tetapi harganya boleh mencecah AS$6 bilion, kata laporan.
Ia pastinya berbeza dengan pengambilalihan kontroversi pada 2005 oleh keluarga Glazer yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang juga pemilik masa ini.
United kini mengumpul hutang lebih daripada AS$620 juta.
Bagaimanapun tawaran hari ini akan “hampir sepenuhnya bebas hutang” menerusi syarikat Sheikh Jassim, Nine Two Foundation yang akan melabur dalam pasukan bola sepak, pusat latihan, stadium dan infrastruktur lebih besar, pengalaman buat penyokong dan komuniti penyokong kelab.
Glazers mengumumkan pada November mereka terbuka untuk menjual atau menerima pelaburan untuk pasukan juara 20 kali England itu, menyebabkan tercetus perbincangan dalam Daily Telegraph mengenai pertarungan antara pihak dari Qatar dan minat ditunjukkan Arab Saudi.
Jutawan British, Jim Ratcliffe yang memiliki Ineos adalah satu lagi pihak yang menyatakan minat secara rasmi ketika Daily Telegraph melaporkan hari ini mereka memberitahu bank perdagangan AS, Kumpulan Raine yang menguruskan penjualan itu mereka boleh menjadi penjaga kelab untuk tempoh yang sama.
Jika tawaran Qatar berjaya, ia akan menimbulkan persoalan memandangkan pihak yang berkepentingan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu juga mengawal kelab Perancis, Paris Saint-Germain.
Bagaimanapun kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi bagi pihak Sheikh Jassim menyatakan dia adalah individu bebas yang tiada kaitan dengan Kumpulan Qatar Sports Investment yang memiliki PSG. – AFP, 18 Februari, 2023.
Komen