SEKURANG-KURANGNYA empat terbunuh apabila skuad bunuh diri Taliban Pakistan merempuh masuk ke kawasan kompleks polis di Karachi semalam.
Pasukan keselamatan kemudian masuk ke setiap tingkat bangunan pejabat polis untuk mengejar penjenayah terbabit dan berlaku insiden berbalas tembakan selama berjam-jam.
Serangan itu berlaku hanya seminggu selepas letupan bom di masjid polis di barat daya Pakistan, menyebabkan lebih 80 pegawai maut.
Pihak berkuasa semalam berkata tahap keselamatan akan diperketatkan di ibu kota Islamabad susulan serangan keganasan ini.
Taliban Pakistan berkata pejuangnya merempuh kawasan pejabat polis Karachi yang dikawal ketat, di mana ia menempatkan berpuluh-puluh pejabat pentadbiran dan bangunan kediaman ratusan pegawai dan keluarga mereka.
“Empat terbunuh dalam serangan itu, termasuk dua anggota polis, seorang renjer dan seorang pekerja pembersihan,” kata jurucakap kerajaan Murtaza Wahab Siddiqui.
Sementara itu, 14 yang lain cedera.
Jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu. – AFP, 18 Februari, 2023.
Komen