53 orang awam maut serangan militan di Syria


SEKURANG-KURANGNYA 53 orang terbunuh pada Jumaat dalam serangan di tengah Syria yang didakwa dilakukan kumpulan militan Isis, lapor media kerajaan.

“Seramai 53 rakyat yang mencari trufel terbunuh semasa serangan pengganas Isis di barat daya bandar Al-Sokhna” di timur Homs, kata televisyen negara.

Pengarah hospital Palmyra, Walid Audi berkata mereka yang terbunuh ialah 46 orang awam dan tujuh tentera.

Audi memberitahu stesen radio pro-kerajaan Sham FM yang mayat mereka dibawa ke hospital selepas serangan hendap.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain juga melaporkan serangan itu lebih awal pada Jumaat.

Ramai orang, termasuk wanita dan kanak-kanak menjadi sasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini semasa mencari trufel di kawasan tengah, timur laut dan timur Syria.

Seramai 16 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh pada Sabtu dalam serangan serupa yang menyasarkan pencari makanan di kawasan yang sama, kata badan pemantau, yang bergantung pada rangkaian luas sumber di darat di Syria.

Berpuluh-puluh yang lain diculik dalam serangan itu, kata badan itu, sambil menambah 25 daripada mereka dibebaskan tetapi nasib yang lain masih tidak diketahui.

Pada April 2021, kumpulan pelampau melancarkan serangan serupa, menculik 19 orang, kebanyakannya orang awam, di kawasan luar bandar timur wilayah Hama.

Selepas hilang baki wilayah terakhir mereka berikutan serangan tentera yang disokong oleh pakatan pimpinan AS pada Mac 2019, saki-baki Isis di Syria kebanyakannya berundur ke tempat persembunyian di padang pasir.

Mereka menjadikan tempat persembunyian sedemikian untuk menyerang hendap pasukan Kurdish dan tentera kerajaan Syria sambil terus melancarkan serangan di negara jiran Iraq.

Helikopter Syria dan Rusia terus melancarkan serangan udara yang menyasarkan tempat persembunyian padang pasir Isis. – AFP, 18 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen