18 pendatang maut sesak nafas berhimpit dalam trak di Bulgaria


Pegawai keselamatan berkumpul di pinggir Lokorsko selepas penemuan 18 pendatang maut di belakang sebuah trak yang ditinggalkan. – Gambar AFP, 18 Februari 2023.

PIHAK berkuasa Bulgaria pada Jumaat menemui mayat 18 pendatang selepas sesak nafas dalam trak yang menyeludup mereka melalui negara itu.

Insiden berlaku ketika negara Balkan itu bergelut dengan peningkatan dalam lintasan sempadan secara haram.

Trak itu membawa 52 pendatang “bersembunyi di bawah kayu”, kata pegawai.

Penduduk tempatan memaklumkan polis, yang menemui trak itu berhampiran perkampungan Lokorsko, 20km timur laut ibu negara Sofia.

Penyiasat menemui mayat bergelimpangan di atas rumput di sekeliling kenderaan itu.

“Menurut laporan awal, mereka meninggal dunia akibat asfiksia—terlalu ramai orang di tempat yang terlalu kecil,” kata Timbalan Pendakwa Raya Borislav Sarafov kepada AFP.

“Memandangkan jumlah mangsa, ini adalah insiden paling ramai yang maut membabitkan pendatang di Bulgaria,” tambahnya.

Sarafov berkata, mangsa meninggal dunia 10 hingga 12 jam sebelum mayat mereka ditemui, dengan penyeludup melarikan diri sebaik menyedari kematian itu.

Empat warga Bulgaria ditahan sebagai suspek dalam kes itu.

Seramai 34orang yang ditemui masih hidup dibawa ke hospital.

“Mereka kesejukan dan basah kuyup, dan sudah pasti tidak makan selama beberapa hari,” kata Menteri Kesihatan Asen Medjidiev kepada wartawan sebelum ini.

Kementerian kesihatan berkata mangsa yang maut termasuk kanak-kanak berusia enam atau tujuh tahun, tetapi Sarafov berkata mangsa paling muda adalah seorang remaja.

Berdasarkan maklumat awal, mereka yang menaiki trak itu berasal dari Afghanistan, tambahnya.

Bergerak dari Turkiye, kumpulan itu memasuki Bulgaria beberapa hari lalu, melintasi pagar sempadan di wilayah tenggara Yambol, tambah Sarafov.

Bulgaria anggota Kesatuan Eropah (EU), yang menjadi pintu masuk ke blok itu, cuba mengetatkan keselamatan untuk menghentikan peningkatan jumlah pendatang yang ingin menyeberangi sempadan.

Negara itu meningkatkan kawalan dengan pagar kawat berduri sepanjang 234km yang meliputi hampir seluruh sempadan dengan Turkiye.

Polis sempadan menggagalkan 164,000 percubaan pada 2022, berbanding 55,000 pada 2021, menurut data kementerian dalam negeri.

Austria dan Belanda pada Disember menyekat tawaran Sofia untuk menyertai zon bebas sempadan Schengen.

Bulgaria berdepan tuduhan yang semakin meningkat yang ia mendera pendatang yang cuba menyeberang dari Turkiye, dengan pencari suaka berkata mereka ditolak, dikurung, dibogelkan dan dipukul.

Pihak berkuasa Bulgaria berulang kali menafikan tuduhan itu.

Tiga pegawai polis maut apabila kenderaan penyeludup merempuh kereta mereka tahun lalu.

Sofia meminta EU dua bilion euro (AS$2.1 bilion) untuk mengawal pagar sempadan dan meningkatkan pengawasan, tetapi Brussels setakat ini menolak.

Penemuan mengerikan pada Jumaat menjadi perbandingan dengan kes sebelumnya.

Pada Ogos 2015, pada kemuncak krisis penghijrahan Eropah, sebanyak 71 mayatpendatang, termasuk seorang bayi perempuan, ditemui berlonggok di belakang lori peti sejuk ayam yang ditinggalkan di Austria.

Mahkamah Hungary memenjarakan seorang warga Afghanistan dan tiga warga Bulgaria seumur hidup berhubung kes itu.

Pada 2019, 39 pendatang Vietnam ditemui mati dalam trak peti sejuk di Britain sejurus selepas ia menyeberangi Selat dari tanah besar Eropah.

Beberapa kejadian serupa tetapi tidak banyak melibatkan kematian direkodkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk di Croatia, Ireland, Itali dan Belanda. – AFP, 18 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen