MALAYSIA masih belum menerima sebarang notis rasmi berkaitan perintah sitaan aset di Luxembourg oleh kumpulan yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu terhadap Malaysia dan Petronas.
Oleh sebab itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan ketepatan dan kebenaran perkara itu.
“Jika ia didapati benar, ini bukan kali pertama kumpulan yang mendakwa waris Sulu itu cuba merampas aset Malaysia di Luxembourg, berdasarkan ‘final award’ yang dikeluarkan seorang peguam Sepanyol yang dilantik sebagai penimbang tara, yang telah dibatalkan oleh mahkamah yang sama yang melantiknya, tanpa mendengar hujah Malaysia.
“Sebaliknya, ini satu usaha baharu untuk menyita aset menggunakan perintah pertama yang gagal dilaksanakan sebelum ini, yang baru-baru ini telah ditarik balik oleh mahkamah di Luxembourg,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan Reuters pada Khamis (16 Feb) bertajuk “Aset Petronas di Luxembourg disita semula dalam pertikaian timbang tara AS$15 bilion”, yang menyatakan bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu terhadap dua unit milik syarikat minyak Petronas dari Malaysia minggu ini susulan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion (AS$1= RM4.42) yang mereka peroleh terhadap Malaysia, menurut peguam waris terbabit serta dokumen mahkamah yang dilihat oleh Reuters. – Bernama, 17 Februari 2023.
Komen