Malaysia, Singapura komited kongsi kepakaran sektor pertanian moden


Kunjungan hormat Pesuruhajaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Facebook, 17 Februari 2023.

MALAYSIA dan Singapura bersedia untuk meluaskan kerjasama dalam sektor pertanian moden sebagai usaha meningkatkan keterjaminan makanan kedua-dua negara. 

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan hari ini, kepentingan membangunkan pertanian moden dan aplikasi teknologi pintar dalam sektor pertanian adalah antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Pesuruhajaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menyatakan bahawa kestabilan bekalan makanan adalah isu global dan perlu ditangani bersama oleh Malaysia dan Singapura.  

Malaysia turut mempelawa Singapura untuk bersama-sama meningkatkan bekalan makanan melalui pelaburan dalam sektor pertanian moden di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Singapura bersedia untuk berkongsi teknologi dan kepakarannya dalam bidang pertanian pintar.

Dalam pada itu, kedua-dua negara juga bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuh  perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan matlamat bagi menjamin sumber bekalan makanan yang mampan dan berterusan.

Singapura merupakan rakan dagang pertanian yang penting untuk Malaysia.

Untuk rekod, daripada Januari hingga Oktober 2022, nilai perdagangan Malaysia-Singapura dalam sektor pertanian berjumlah RM15.99 bilion. – Bernama, 17 Februari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen