Lynas sepatutnya tutup 5 tahun lalu, kata Wong Tack


Bekas ahli Parlimen Bentong Wong Tack berkata keputusan Putrajaya untuk melanjutkan lesen Lynas selama tiga tahun lagi juga bermakna kerajaan membenarkan Lynas menghasilkan lagi 120,000 tan metrik sisa radioaktif di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari 2023.

KILANG pemprosesan nadir bumi Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) sepatutnya ditutup lima tahun lalu semasa Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, kata bekas ahli Parlimen Bentong Wong Tack.

Beliau berkata keputusan kerajaan untuk tidak membatalkan syarat yang menghalang syarikat itu daripada mengimport dan memproses bahan larut lesap nadir bumi selepas 1 Julai sudah terlambat.

Katanya, sisa radioaktif Lynas setakat Mei 2019 berjumlah 580,362 tan metrik dan kini meningkat kepada 1.08 juta tan metrik.

“Jumlah itu akan mencecah kepada 1.2 juta tan metrik menjelang Julai.

“Kegagalan PH menunaikan janji untuk menutup Lynas apabila mengambil alih kerajaan pada 2018 mengakibatkan lebih setengah juta tan sisa radioaktif dilonggokkan di negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Wong yang juga bekas ahli DAP berkata keputusan Putrajaya untuk melanjutkan lesen Lynas selama tiga tahun lagi juga bermakna kerajaan membenarkan ia menghasilkan lagi 120,000 tan metrik sisa radioaktif di Malaysia.

Semalam, kerajaan bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi pembaharuan lesen operasi Lynas di Gebeng, Pahang untuk tempoh tiga tahun bermula 3 Mac 2023 sehingga 2 Mac 2026.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Chang Lih Kang pada sidang media berkata Lynas bagaimanapun tidak dibenarkan melakukan sebarang operasi serta aktiviti yang melibatkan penghasilan sisa radioaktif di Malaysia selepas Julai ini.

Perkara itu dimuktamadkan selepas Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Lembaga) menolak permintaan Lynas untuk meneruskan aktiviti projek berkenaan, katanya.

Beliau juga berkata kerajaan menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat prasyarat di bawah terma lesen berhubung pengurusan sisa radioaktif di Malaysia selepas Julai tahun ini.

“Justeru, semua syarat lesen yang telah diputuskan sebelum ini pada 3 Mac 2020 hingga 2 Mac 2023 perlu terus dipatuhi oleh Lynas,” katanya. – 17 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen