TV3, Utusan, BH dan NST bakal dibebaskan daripada parti politik


Amin Iskandar

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST, dan media lain akan dibebaskan daripada cengkaman mana-mana parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018.

JIKA Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), media arus perdana akan dibebaskan daripada cengkaman parti politik, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi PH itu berkata gabungan itu juga akan memastikan tiada lagi undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara di Malaysia selepas mereka membentuk kerajaan.

“TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST, dan media lain akan dibebaskan daripada cengkaman mana-mana parti politik.

“Tiada lagi undang-undang menyekat kebebasan bersuara.

“Ini antara tindakan yang akan diambil oleh Pakatan Harapan,” kata Dr Mahathir dalam “Policy Talk: Najis rasuah, jalan penyelesaian?” yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya pagi ini.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan Majlis Makan Tengah Hari bersama Ketua-ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan di Putrajaya.

Pada Majlis itu, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan satu surat amaran tegas, dua surat amaran, 14 surat teguran, 44 surat nasihat dan empat surat tunjuk sebab kepada media dan pencetak pada tahun lepas.

Beliau berkata kerajaan akan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar ia bersesuaian dengan keadaan semasa.

Kali terakhir Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda adalah pada 2012. – 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen