Mahkamah arah bicara petisyen pilihan raya kerusi Kuala Terengganu


Diyana Ibrahim

Hakim menolak bantahan awal ahli Parlimen Amzad Hashim bagi membatalkan petisyen ke atas keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – Gambar Facebook, 17 Februari, 2023.

MAHKAMAH Pilihan Raya menetapkan perbicaraan penuh bagi petisyen Parlimen Kuala Terengganu berlangsung selama 20 hari bermula April sehingga Jun, menurut biro perundangan PAS.

Seorang setiausaha biro itu Ahmad Lutfi Awang berkata hakim menolak bantahan awal ahli Parlimen Amzad Hashim bagi membatalkan petisyen ke atas keputusan PRU15 bagi kerusi itu.

Katanya, menolak kesemua alasan bantahan awal yang dikemukakan Amzad tanpa sebarang perintah kos perundangan.

Justeru, Hakim Mohd Firruz Jaffril juga menetapkan perbicaraan penuh bagi petisyen Parlimen Kuala Terengganu dilangsungkan, katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibacakan oleh hakim melalui sesi aplikasi dalam talian Zoom pagi ini.

Petisyen tersebut difailkan Umno Terengganu pada 3 Januari bagi membatalkan kemenangan PAS di Kuala Terengganu dan juga dua lagi kerusi – Marang dan Kemaman.

Petisyen difailkan oleh calon masing-masing iaitu Jasmira Othman (Marang), Mohd Zubir Embong (Kuala Terengganu) dan Ahmad Said (Kemaman).

Ahmad yang juga pengerusi Umno Terengganu mendakwa ada “bukti jelas” oleh saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS yang memancing undi di tiga kawasan itu.

Bagi kerusi Marang, mahkamah pada Ahad lalu menolak bantahan awal penyandang kerusi itu Abdul Hadi Awang terhadap petisyen tersebut.

Abdul Hadi yang juga presiden PAS diarah membayar kos RM20,000 kepada pempetisyen.

Bagi kerusi Kemaman, hakim menolak petisyen dan mengekalkan keputusan yang memihak ahli Che Alias Hamid dari PAS. – 17 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen