Majikan tidak setuju wajibkan elaun pelajar latihan amali


MEWAJIBKAN pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta akan menghalang majikan daripada menawarkan tempat untuk latihan, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman berkata tempat untuk latihan adalah secara sukarela dan sebarang langkah mewajibkan majikan membayar kadar tertentu akan menyebabkan majikan tidak tertarik untuk mengambil pelatih.

“Latihan amali (internship) ialah peluang untuk pelajar atau graduan baharu mendapatkan pengalaman industri yang berharga yang akan membantu mereka untuk diambil bekerja.”

“Pada masa ini, syarikat swasta yang mengambil pelatih menjalani latihan industri membayar elaun mengikut budi bicara. Elaun purata di bandar besar untuk pelatih adalah kira-kira RM1,200, tetapi ada pelatih diberi elaun kurang RM1,000 sebulan.”

“Semuanya bergantung kepada kemampuan syarikat untuk memberikan elaun. Beberapa syarikat besar membayar lebih RM1,200 sebulan,” kata Syed Hussein.

Syed Hussain menjawab cadangan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk mewajibkan pembayaran elaun bagi latihan amali.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu membincangkan kebaikan dan keburukan memanjangkan pelaksanaan cadangan itu kepada sektor swasta.

Buat masa ini, kerajaan tidak mewajibkan syarikat swasta membayar elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri.

Syed Hussain berkata daripada mewajibkan majikan membayar elaun latihan, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak insentif kepada majikan yang mengambil lebih ramai pelatih.

Beliau amat percaya majikan perlu membayar elaun latihan mengikut budi bicara tetapi menegaskan majikan yang mengambil pelatih perlu membayar sedikit elaun kepada pelatih.

“Latihan amali menawarkan peluang kepada pelajar untuk belajar dan mengembangkan kemahiran mereka, dan merasai sendiri suasana kerja yang tidak terdapat di dalam kelas.”

“Latihan akan membolehkan pelajar beralih daripada dunia pendidikan ke tempat kerja lebih mudah.”

“Bagaimanapun, kerajaan tidak seharusnya mewajibkan majikan membayar kadar tertentu kepada pelatih tetapi majikan yang mengambil pelatih perlu mengambil kira peningkatan kos sara hidup yang dialami pelatih,” tambahnya. – 17 Februari 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen