BEKAS menteri dalam negeri Venezuela Miguel Rodriguez Torres ditahan semalam atas tuduhan merancang memecahbelahkan pasukan tentera, kata kerajaan.
“Beliau dikehendaki kerana terbabit dalam tindakan menentang keamanan. Beliau terbabit dalam konspirasi dan plot untuk melakukan serangan berniat jahat terhadap perpaduan pasukan tentera kami,” menurut satu kenyataan.
Penahanannya itu menjelang pilihan raya presiden kontroversi pada 20 Mei depan dengan pembangkang utama mengugut untuk memboikotnya.
Protes ganas dengan menyebabkan puluhan mati berlaku tahun lalu terhadap pemerintahan Presiden Nicolas Maduro ketika rakyat negara itu bergelut dengan masalah kekurangan makanan dan ubat-ubatan.
Kemuncak kepada kekacauan itu ialah juruterbang Oscar Perez menggunakan helikopter curi untuk mengebom Mahkamah Tinggi Venezuela, menyebabkan Maduro menuduhnya melakukan rampasan kuasa.
Kerajaan pada Januari mengumumkan bahawa Perez dan tujuh lagi “pengganas” terbunuh.
Maduro menuduh Torres – yang menyertai cubaan rampasan kuasa diketuai bekas presiden Hugo Chavez Chavez pada 1992 – kerana dikaitkan dengan rancangan sayap kanan untuk menggulingkannya.
Iris Varela, menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal penjara menggesa penahanan Torres kerana dituduh terbabit dalam rancangan Perez.
Menurut kerajaan, Torres yang juga ketua risikan kepada Chavez, merancang melakukan “tindakan jenayah” terhadap kerajaan. – AFP, 14 Mac, 2018.
Komen