AS pintas pesawat Rusia berhampiran Alaska


PESAWAT perang Amerika memintas pesawat tentera Rusia berhampiran Alaska buat kali kedua minggu ini, kata Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (Norad) bersama AS-Kanada pada Khamis.

Pintasan empat pesawat Rusia itu—termasuk pengebom Tu-95 dan pesawat pejuang Su-30 dan Su-35—berlaku pada Selasa, kata NORAD dalam satu kenyataan.

“Pesawat Rusia kekal di ruang udara antarabangsa dan tidak memasuki ruang udara berdaulat Amerika atau Kanada,” katanya.

Ini adalah pintasan kedua—apabila pesawat membuat hubungan visual atau elektronik dengan pesawat lain—dalam dua hari, dengan yang pertama berlaku pada Isnin.

“Norad… menilai yang aktiviti penerbangan Rusia ini sama sekali tidak berkaitan dengan operasi Norad dan Komando Utara AS baru-baru ini yang dikaitkan dengan objek bawaan udara di atas Amerika Utara dalam tempoh dua minggu lepas,” tambahnya.

Pesawat AS menembak jatuh belon pengintip China dan tiga objek tidak dikenali bulan ini—tindakan serangan yang jarang berlaku bagi pesawat perang yang ditempatkan di Amerika Utara. – AFP, 17 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen