Banyak dakwaan kebaikan susu formula bayi tiada bukti saintifik


Banyak pengeluar susu formula bayi menggunakan dakwaan kesihatan tidak benar bagi melariskan jualan produk mereka. – Gambar EPA, 16 Februari, 2023.

SEBAHAGIAN besar dakwaan kesihatan yang digunakan untuk mengiklankan susu formula bayi di seluruh dunia tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh, kata satu kajian pada Khamis.

Kajian itu dibuat seminggu selepas sekumpulan doktor dan saintis menggesa tindakan tegas terhadap industri susu formula bayi bernilai AS$55 bilion berhubung pemasaran yang mereka katakan mengeksploitasi kebimbangan ibu bapa baharu untuk meyakinkan mereka agar tidak memberi susu ibu.

Penyusuan susu ibu diakui secara meluas mempunyai manfaat kesihatan yang besar untuk bayi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan CDC AS mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama bayi yang baru lahir.

Bagaimanapun, saranan itu dipatuhi bagi kurang separuh bayi di seluruh dunia, menurut WHO.

Daniel Munblit, pensyarah kanan kehormat di Imperial College London dan pengarang kajian baharu itu berkata para penyelidik bukan menentang susu formula bayi, yang sepatutnya terus menjadi pilihan bagi ibu yang tidak boleh atau memilih untuk tidak menyusui bayi mereka.

“Tetapi kami sangat menentang pemasaran susu formula bayi yang tidak sesuai, memberikan dakwaan mengelirukan yang tidak disokong oleh bukti kukuh,” kata Munblit kepada AFP.

Munblit dan pasukan penyelidik antarabangsa melihat dakwaan kesihatan yang dibuat untuk 608 produk di laman web syarikat susu formula bayi di 15 negara, termasuk Amerika Syarikat, India, Britain dan Nigeria.

Dakwaan paling biasa ialah formula menyokong perkembangan otak, menguatkan sistem imun dan secara lebih meluas membantu pertumbuhan.

Separuh daripada produk itu tiada kaitan manfaat kesihatan sebagaimana didakwa kepada bahan tertentu, menurut kajian diterbitkan dalam jurnal BMJ.

Tiga perempat tidak merujuk kepada bukti saintifik yang menyokong dakwaan mereka.

Bagi yang memberikan rujukan saintifik, lebih separuh merujuk kepada ulasan, pendapat atau penyelidikan terhadap haiwan.

Hanya 14% produk merujuk kepada ujian klinikal berdaftar ke atas manusia. Bagaimanapun 90% daripada ujian tersebut membawa risiko berat sebelah yang tinggi, termasuk data hilang atau penemuan tidak menyokong dakwan itu, kata kajian berkenaan.

Dan hampir 90% daripada ujian klinikal mempunyai penulis yang menerima pembiayaan daripada atau mempunyai hubungan dengan industri susu formula, tambahnya.

Bahan paling biasa disebut ialah asid lemak tak tepu, yang terdapat dalam susu ibu dan dianggap penting untuk perkembangan otak.

Bagaimanapun, tiada bukti sebarang faedah tambahan apabila bahan itu ditambah kepada susu formula bayi, menurut tinjauan sistematik Cochrane.

Munblit berkata dakwaan kesihatan itu kebanyakannya digunakan untuk mengiklankan produk susu formula premium, yang boleh “menyusahkan” ibu bapa yang terkeliru dan mempercayai ramuan itu penting tetapi tidak mampu membelinya.

Apabila ditanya apa yang beliau fikir perlu dilakukan untuk menangani masalah itu, Munblit ringkas.

“Pembungkusan biasa,” katanya.

Kajian itu dibuat selepas satu siri kertas kerja diterbitkan dalam jurnal Lancet minggu lalu yang menyeru penggubal dasar global menamatkan pemasaran formula eksploitatif.

Pakar kesihatan bayi WHO Nigel Rollins, pengarang salah satu kertas kerja Lancet, berkata ibu bapa yang sibuk tiada masa meneliti kebenaran dakwaan susu formula bayi.

Kajian baharu itu menunjukkan kerajaan dan pihak berkuasa kawal selia mesti memberikan masa dan perhatian diperlukan untuk mengkaji semula dakwaan produk susu formula, kata Rollins dalam editorial BMJ berhubung perkara itu. – AFP, 16 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen