EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) pada Rabu menjanjikan bantuan tambahan AS$50 juta untuk Syria yang dilanda gempa bumi, kata agensi berita rasmi WAM, menjadikan jumlah ikrar kepada lebih AS$100 juta.
Pengumuman itu dibuat lebih sembilan hari selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Syria dan Turkiye, mengorbankan hampir 40,000 orang.
Ia juga susulan rayuan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa bagi AS$397 juta untuk membantu mangsa gempa bumi di negara yang dilanda perang, di mana bencana itu menyebabkan jutaan penduduk terdesak memerlukan bantuan.
Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan “mengarahkan peruntukan tambahan AS$50 juta sebagai bantuan untuk penduduk yang terjejas gempa bumi di Syria”, kata WAM.
Daripada jumlah itu, AS$20 juta akan diperuntukkan untuk “projek kemanusiaan sebagai tindak balas kepada rayuan kecemasan PBB”, tambah agensi berita itu.
Negara Teluk yang kaya dengan minyak yang menormalkan hubungan dengan kerajaan Presiden Bashar al-Assad pada 2018 mengetuai tindak balas gempa Syria.
Minggu lalu, presiden negara itu menjanjikan AS$50 juta kepada Syria, sehari selepas Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum menjanjikan bantuan bernilai AS$13.6 juta.
UAE menghantar 38 pesawat ke Syria membawa lebih 1,200 tan bantuan makanan dan perubatan, selain hampir 2,900 khemah, menurut WAM.
Ia juga menghantar 42 anggota pasukan mencari dan menyelamat ke bandar pantai Syria Jableh, yang terletak di Latakia, wilayah di bawah kawalan kerajaan.
Bantuan itu adalah yang terbesar oleh satu negara kepada negara dilanda perang yang sudah bergelut dengan krisis ekonomi semakin meruncing dan krisis kemanusiaan mendalam sebelum gempa melanda.
Menteri Luar Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan berada di Syria pada hujung minggu di mana beliau bertemu dengan Assad serta pasukan mencari dan menyelamat UAE.
Lawatan beliau adalah yang pertama oleh pegawai kanan Teluk ke Syria sejak gempa itu. – AFP, 16 Februari, 2023.
Komen