Zahid kecewa parti komponen BN tak sokong program


Timbalan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menegur pemimpin parti komponen gabungan itu yang tidak memberi sokongan dalam sebarang program bersama rakyat dianjurkan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018.

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menegur pemimpin parti komponen gabungan itu yang tidak memberi sokongan dalam sebarang program bersama rakyat dianjurkan mereka, lapor BH Online.

Menurut portal milik akhbar Berita Harian itu, Zahid meluahkan kekecewaan apabila ada pemimpin atau calon parti komponen BN tidak hadir pada program dianjurkan sedangkan beliau sendiri meluangkan masa menghadiri program dan bertemu rakyat.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri menyifatkan sikap itu memberi gambaran buruk kepada BN, terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi.

“Tolong tunjuk muka di sini (Parlimen Rembau) walaupun kita beri kerusi bertanding di tempat lain. Bantu calon kita, kerusi hendak tetapi program tidak hadir.

“Anda perlu tunjukkan hormat kepada kerusi ditandingi, jangan beri alasan sibuk. Saya mahu rekod cemerlang (Negeri Sembilan) diperoleh (PRU14),” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Zahid membuat teguran itu selepas mendapati tiada pemimpin MCA hadir pada program berkenaan dianjurkan rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Negeri Sembilan, sedangkan pemimpin MIC dilihat hadir.

Kerusi Parlimen Rembau dan empat DUN termasuk Paroi dalam kawasan itu semuanya ditandingi Umno.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin merupakan ahli Parlimen Rembau.

Manakala Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan merupakan Adun Rantau yang terletak dalam Parlimen Rembau.

Menurut portal itu, Zahid yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Teluk Kemang dan Seremban daripada Pakatan Harapan jika pemimpin dicalonkan menunjukkan komitmen penuh. – 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • program yang baik buat rakyat setiap pemimpin parti komponen dan akar umbi haruslah menunjukkan rasa tanggungjawab dan sokongan yang mendalam terhadap segala bentuk program yang dilakukan untuk rakyat.. ini menunjukkan kesepaduan sesama pemimpin dalam membentuk parti kerajaan yg sempurna demi rakyat.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan