Saif al-Adel pemimpin baharu Al-Qaeda, kata AS 


Warga Mesir yang menetap di Iran, Saif al-Adel dikatakan pemimpin baharu Al-Qaeda menggantikan Ayman al-Zawahiri yang terbunuh dalam serangan roket Amerika Syarikat di Kabul, Afghanistan pada 2022. – Gambar Youtube, 16 Februari, 2023.

WARGA Mesir yang menetap di Iran,Saif al-Adel menjadi ketua Al-Qaeda berikutan kematian Ayman al-Zawahiri pada Julai 2022, kata Jabatan Negara AS pada hari Rabu.

“Penilaian kami sejajar dengan PBB—bahawa ketua de facto baru al-Qaeda Saif al-Adel berpangkalan di Iran,” kata jurucakap jabatan negara.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan Selasa mengatakan bahawa pandangan utama negara anggota ialah Adel kini ketua kumpulan itu, “mewakili kesinambungan buat masa ini.”

Tetapi kumpulan itu tidak secara rasmi mengisytiharkannya sebagai “emir” kerana sensitiviti terhadap kebimbangan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan, yang tidak mahu mengakui bahawa Zawahiri terbunuh dalam serangan roket AS di sebuah rumah di Kabul tahun lepas, menurut laporan PBB.

Selain itu, laporan PBB berkata, Al-Qaeda sensitif terhadap isu Adel yang tinggal di Iran yang sebahagian besarnya penganut Syiah.

“Lokasinya menimbulkan persoalan yang mempunyai kaitan dengan cita-cita Al-Qaeda untuk menegaskan kepimpinan gerakan global dalam menghadapi cabaran daripada ISIL,” kata laporan PBB itu, merujuk kepada nama lain bagi kumpulan IS.

Adel, 62, adalah bekas leftenan kolonel pasukan khas Mesir dan merupakan antara tokoh dalam Al-Qaeda.

Menurut Projek Counter Extremism AS,  dia membantu membina kapasiti operasi kumpulan itu dan melatih beberapa perampas yang mengambil bahagian dalam serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat. 

Dia berada di Iran sejak 2002 atau 2003, pada mulanya di bawah tahanan rumah tetapi kemudiannya bebas untuk membuat perjalanan ke Pakistan, menurut bekas penyiasat anti-keganasan FBI, Ali Soufan.  – AFP, 16 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen