Putrajaya pertimbang longgar pengambilan pekerja asing untuk sektor pelancongan, kata menteri


Pelan yang dilaksakan pada 17 Januari lalu itu meliputi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja) juga sub-sektor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2023.

KEMENTERIAN Sumber Manusia akan mempertimbangkan untuk meluaskan kelonggaran syarat pengambilan pekerja asing bagi sektor pelancongan kata menterinya V Sivakumar di Dewan Rakyat, hari ini.

Pelan itu bagi menangani masalah kekurangan pekerja yang dihadapi negara ini.

Pelan yang dilaksakan pada 17 Januari lalu itu meliputi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja) juga sub-sektor.

Di bawah pelan itu majikan boleh mengambil pekerja dari 15 negara tanpa mematuhi syarat pekerjaan dan kuota.

Sivakumar berkata pelan itu akan dilaksanakan sehingga 31 Mac ini.

Majikan daripada lima sektor itu boleh memohon untuk mengambil pekerja melalui platform aplikasi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Sivakumar berkata kementeriannya akan memproses dan meluluskan permohonan itu dalam tempoh tiga hari bekerja.

Sebelumnya Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan) berkata industri pelancongan perlu dianggap sebagai sektor kritikal yang memerlukan pekerja asing.

Sivakumar juga berkata kebergantungan besar terhadap pekerja asing disebabkan kekurangan minat dalam kalangan warga tempatan.

“Kami juga cuba menyediakan lebih banyak peluang kerja kepada pekerja tempatan melalui pelbagai kaedah dan mekanisme bagi memastikan mereka mempunyai pekerjaan yang mencukupi.

“Namun keputusan kementerian untuk membawa masuk pekerja asing ini hanyalah sementara. Kami akan ambil semua langkah untuk memastikan kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan pada masa depan,” kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu. – 15 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen