Walaupun marah pada Dr Mahathir, Cina akan tetap undi Pakatan


Yeoh Cheong Ee

Kebanyakan masyarakat Cina di Malaysia akan tetap menyokong Pakatan Harapan walaupun masih tidak boleh menerima Dr Mahathir Mohamad. Mereka mungkin masih mengundi pembangkang, atau merosakkan undi pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018.

SEBAHAGIAN masyarakat Cina masih tidak suka dengan Dr Mahathir Mohamad kerana pemerintahan autokrasinya ketika menjadi perdana menteri dan ini dijangka mengurangkan sokongan untuk Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata penganalisis politik.

“Pada dua PRU lalu, DAP membantu pembangkang mendapatkan 80% undi Cina. Tetapi bagi PRU14, ini belum lagi dapat dipastikan kerana pembabitan Dr Mahathir,” kata pensyarah Utar Liew Wui Chern.

Beliau menganggarkan kekurangan antara 5% dan 10% undi Cina kepada PH akan berlaku, di mana Dr Mahathir menerajuinya sebagai pengerusi sejak sembilan bulan lalu. Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan bersara pada 2003.

Tetapi undi itu tidak semestinya kembali kepada kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN), kerana mereka yang tidak suka kepada Dr Mahathir, mungkin akan merosakkan undi mereka, atau tidak keluar mengundi langsung, kata Liew.

“Cina terbahagi kerana beliau. Satu bahagian, terdapat mereka yang dapat melupakan kisah silam dan fokus kepada masa depan lebih besar. Sebelah pihak lagi, mereka percaya Dr Mahathir yang memulakan kerosakan ini dan mungkin akan kembali menjadi dirinya yang dulu jika PH menang PRU14.”

Bagaimanapun katanya, majoriti pengundi Cina yang membentuk 29.68% populasi mengundi, akan tetap menyokong pembangkang, memberi tumpuan kepada gambaran lebih besar terhadap perubahan rejim dan membanteras rasuah.

Menurut penganalisis Cina, masyarakat itu masih ingat dan sakit hati tentang penyalahgunaan kuasa undang-undang keselamatan untuk menyekat kebebasan, contohnya episod Ops Lalang pada penghujung 1980-an dan skandal forex Bank Negara Malaysia pada awal 1990-an.

Masyarakat Cina dikatakan masih tidak boleh melupakan Ops Lalang, skandal BNM dan penyalahgunaan kuasa undang-undang keselamatan ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2018.

Satu lagi episod yang menyerlah ialah Dr Mahathir menyamakan Cina dengan “komunis” dan “ekstremis” ketika menolak memorandum 17 poin dihantar oleh kumpulan persatuan sivil Cina, Suqiu sebelum PRU pada 1999.

Mewakili lebih 2,000 kumpulan, Suqiu membuat beberapa permintaan pilihan raya, di mana Dr Mahathir berkata akan menjejaskan kontrak sosial Malaysia dan perlembagaan yang membenarkan hak keistimewaan untuk orang Melayu.

Liew berkata tentang isu dan janji perubahan, pilihan itu tidak nampak jelas kepada masyarakat Cina sekarang, kerana BN atau PH tidak dapat membuktikan ia mempunyai dasar berkesan yang dapat menyelesaikan masalah rakyat.

“Walaupun PH sudah pun mendedahkan manifestonya, dasar itu terlalu luas dan kurang butiran lengkap. Bagaimana PH akan uruskan negara ini? Bagaimana ia akan memperbaiki kerajaan?”

Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata majoriti pengundi Cina akan tetap menyokong pembangkang dengan harapan ia akan menyingkirkan rejim rasuah, walaupun ada rasa tidak puas hati terhadap Dr Mahathir.

“Kita dapat lihat ada sebahagian masyarakat Cina yang menentang Dr Mahathir, mereka tidak boleh maafkan kesilapannya selama 20 tahun jadi perdana menteri.

“Tetapi kita juga dapat melihat lebih ramai pengundi Cina sanggup fokus kepada masa depan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Phoon Wing Keong bersetuju dengan pemerhatian itu, berkata kira-kira 70% pengundi Cina akan menyokong Dr Mahathir dan PH. Namun, katanya ia kebanyakannya kerana pragmatisme.

“Imej autoritarian Dr Mahathir sudah tertanam dalam fikiran Cina, mereka tidak mahu mengubahnya hanya kerana PH membentangkan manifestonya.

“Mereka sanggup sokong PH kerana mahu mengubah kerajaan, bukan kerana mereka ubah fikiran terhadap Dr Mahathir,” kata Pan. – 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • walaupon dr mahathir dalam pembangkag, PH tidak mungkin akan dapat memenangi hati rakyat dan pengundi juga.. sedia maklum bahawa rakyat memerlukan parti yang benar2 nekad dan berusaha kuat untuk membangunkan kawasan yang dipegang dengan baik..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan