Hanya calon berpotensi isytihar harta dengan Invoke, kata Rafizi


Mohd Farhan Darwis

Pengasas Invoke Malaysia Rafizi Ramli ketika berucap pada majlis pengisytiharan harta sesi ke-2 Invoke Malaysia yang diadakan Subang Jaya malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Mac, 2018. 

INVOKE Malaysia kini menerima pengisytiharan harta 103 calon berpotensi daripada Amanah dan PKR yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Rafizi Ramli.

Pengasas Invoke Malaysia itu berkata, terdapat kekangan untuk calon-calon lain mengisytiharkan harta mereka melalui inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu kerana malu dan khuatir dengan kesan akibat tindakan tersebut.

“Perlukan keberanian yang tinggi untuk lakukan perkara ini, saya ambil masa yang lama untuk meyakinkan 75 orang calon berpotensi ini untuk melakukannya.

“Ada yang miskin rasa malu, duit ada seribu, dua ribu ringgit sahaja, (mereka yang ada) duit lebih takut orang minta duit.

“Saya kenal wakil rakyat yang jujur tapi teragak-agak bukan sebab rasuah tetapi ia berkaitan privasi, sebab itu ambil masa lama utuk yakinkan mereka melakukan perkara ini,” katanya, ketika ditemui pemberita selepas majlis pengisytiharan harta sesi ke-2 Invoke Malaysia di Subang Jaya malam ini.

Majlis itu menyaksikan 36 calon berpotensi mengisytiharkan harta mereka kepada Invoke antaranya termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, bekas Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin, bekas ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefli Ahmad, dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Berdasarkan pengisytiharan harta itu, Hanipa menunjukkan baki wang tunai di akaun bank miliknya hanya berjumlah RM900.

Rafizi berkata, pengisytiharan harta kepada Invoke juga memerlukan mereka melakukan akuan berkanun yang tertakluk kepada Akta Akuan Berkanun 1960 yang mana boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati menipu.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, DAP tidak memerlukan khidmat Invoke memandangkan kebanyakan kerusi yang ditandingi parti komponen Pakatan Harapan itu bukan kerusi campuran.

Manakala katanya Bersatu masih tidak membuat keputusan untuk melaksanakan perkara itu.

“Taklimat telah diberikan kepada semua pimpinan parti, sebelum buat pengisytiharan yang pertama pada 19 November, wakil-wakil parti diberikan taklimat kecuali DAP sebab mereka tiada kerusi marginal.

“Invoke ditubuhkan untuk kerusi-kerusi marginal, DAP tidak bertanding kerusi marginal sebab itu tidak perlukan khidmat kami,” katanya.

“Bersatu kata mereka perlu balik dan buat keputusan,” tambahnya.

Rafizi sehubungan itu berkata, proses pengisytiharan harta untuk calon berpotensi perlu diteruskan agar ia menjadi budaya yang dikehendaki rakyat.

“Ini cara proaktif untuk membudayakan isytihar harta, ia secara sukarela, oleh kerana tiada undang-undang yang mensyaratkan untuk mengisytiharkan harta, maka cara untuk galakkan dengan tawarkan khidmat kempen seperti ditawarkan Invoke

“Parti seperti DAP atau pimpinan PKR lain yang rasa tidak perlu khidmat Invoke kerana rasa kerusi dia ‘ok’ tu terpulang kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pengisytiharan harta itu menjadi budaya, mereka akan tertekan untuk turut sama menyertai kempen berkenaan.

“Apabila ada sambutan baik dari kalangan rakyat yang mahu pengisytiharan harta, mereka akan rasa tekanan untuk isytihar harta.

“Kalau budaya itu jadi tuntutan, parti boleh buat keputusan, syarat dia kerana akuan berkanun bukan kepada pemimpin masing-masing,” tambahnya. – 13 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen